Amanah: Tiada perbuatan ‘kuda-menguda’ dalam PH

Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika berucap merasmikan Konvensyen Amanah Melaka di Melaka hari ini. (Gambar Facebook)

MELAKA: Presiden Amanah Mohamad Sabu menegaskan tiada perbuatan ‘kuda menguda’ atau memperguna antara satu sama lain dalam Pakatan Harapan (PH).

Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata parti dalam PH iaitu PKR, DAP, PPBM dan Amanah mempunyai kerjasama erat dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat dan beliau yakin hubungan itu akan kekal kukuh sehingga pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Sebarang isu, termasuk berbeza pandangan kita selesai dalam mesyuarat, sama ada politik dalam Majlis Tertinggi PH atau kerajaan dalam Kabinet. Setelah dibincang, diambil keputusan dan bila perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad) umum, itu keputusan kita bersama.

“Tidak sukar (bekerjasama), cuma berbeza pandangan adalah perkara biasa yang akhirnya keputusan itu dibuat bersama.

“Saya yakin melalui kerjasama ini PH akan menang PRU15 nanti kerana kita memberi khidmat kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Melaka di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang juga pengerusi Amanah negeri, Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin (ketua penerangan PKR) dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka Tey Kok Kiew (pengerusi DAP Melaka).

Ketika berucap merasmikan konvensyen itu, Mohamad menyeru rakyat supaya menyokong pakatan serta pemimpin yang mampu menjaga rakyat dengan baik tanpa mengira kaum.

Beliau juga mengingatkan rakyat, khususnya anggota parti Amanah supaya tidak mempercayai hasutan yang dimainkan pihak pembangkang, terutama yang berbaur perkauman.

Mohamad juga mengingatkan rakyat negara ini supaya menghargai pengorbanan anggota keselamatan dalam memastikan keamanan di negara ini kerana tanpa pengorbanan itu, rakyat tidak akan dapat menikmati keselesaan hidup seperti sekarang.