Mesyuarat majlis tertinggi PPBM dengar penjelasan MB Perak esok, kata Marzuki

Setiausaha Agung PPBM Marzuki Yahya berkata, kenyataan sensitif bukan sahaja dibuat oleh pemimpin PPBM, tetapi juga oleh rakan komponen PH yang lain sebelum ini.

GEORGE TOWN: PPBM akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu esok untuk mendengar penjelasan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berhubung video tular rakaman perbualannya ketika berkempen pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

Setiausaha Agung PPBM Marzuki Yahya berkata, mesyuarat itu diadakan bagi meminta Ahmad Faizal mengemukakan alasannya terhadap perkara yang diperkatakan semasa kempen tersebut.

“Ya sudah semestinya kita akan bertanya sebab-sebab yang dimaksudkan menteri besar Perak esok. Bagi saya perkara-perkara macam ini bukanlah suatu perkara yang besar.

“Sebelum ini pun ada juga kenyataan yang agak sensitif yang dilontarkan bukan sahaja dari PPBM, tetapi juga daripada rakan-rakan kita yang lain umpamanya ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu, Ronnie Liu baru-baru ini.

“Maka kesemua ini kita akan cuba bendung dan kawal, terutama pemimpin kita di peringkat negeri dan juga peringkat bahagian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Berhikmah peringkat negeri Pulau Pinang di Universiti Sains Malaysia di sini, hari ini.

Marzuki yang juga timbalan menteri luar berkata, apa yang cuba disampaikan oleh menteri besar Perak itu adalah berhubung pengalamannya.

“Jadi ini bukan beerti kalau kita bercerita tentang pengalaman, kita hendak mencari masalah dan saya tidak melihat ini masalah yang besar dan fokus kita adalah PRK Tanjung Piai. Pada saya ia bukan kesalahan besar,” katanya.

Berhubung PRK Tanjung Piai, Marzuki menzahirkan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) dengan kemenangan akan beroleh kepada calon PH.

“Saya melihat ada satu usaha yang begitu baki dari rakan-rakan kta di sana bagi memastikan kemenangan di Tanjung Piai.

“Jika di peringkat awal kita agak kebelakang, tetapi hari ini kita dapat lihat perubahan dan sokongan kepada Pakatan Harapan dilihat begitu positif. Saya yakin penduduk di Tanjung Piai akan memberi sokongan kepada calon kita,” katanya.

PRK kerusi Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional (BN) Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.