PETALING JAYA: Sekumpulan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi membantu seorang lelaki bogel yang menghadapi tekanan sehingga tidak dapat mengawal perasaan di depan Daya Bumi, Kuala Lumpur hari ini.
Mereka membelikan pakaian untuknya dari sebuah kedai “bundle” dan memberikan sedikit wang saku sebagai tambang pulang ke rumahnya di Brickfields, selepas menyoal lelaki berkenaan.
“Beliau menyatakan menghadapi tekanan sehingga tidak dapat mengawal perasaannya akibat masalah peribadi, menyebabkannya meminum minuman keras secara berlebihan sehingga beliau tidak sedar yang beliau berbogel di khalayak ramai,” kata Ketua Polis Dang Wangi Mohd Fahmi Visunathan Abdullah dalam kenyataaan.
Polis mendapat maklumat daripada anggota trafik tentang seorang lelaki berjalan berbogel di hadapan mercu tanda ibu negara itu pada lebih kurang 3.27 petang tadi. Sebuah kereta peronda dan anggota unit rondaan bermotosikal diarah ke lokasi dan menemui lelaki berkenaan.
Mereka berjaya memujuknya masuk ke dalam kereta peronda tanpa sebarang kelakuan agresif.
“Lelaki berkenaan juga tidak mempunyai sebarang masalah mental,” katanya.