
PUTRAJAYA: Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz gagal memperoleh kebenaran di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar dari segi perlembagaan kewujudan sekolah vernakular.
Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed menolak permohonan Mohd Khairul Azam untuk memperoleh kebenaran untuk mencabar itu.
Mohd Khairul Azam perlu mendapatkan kebenaran daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan berdasarkan Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan kerana beliau mencabar kecekapan badan perundangan persekutuan untuk meluluskan undang-undang.
Dalam usul yang difailkan pada 23 Okt lalu, peguam itu memohon perisytiharan daripada Mahkamah Persekutuan bahawa keputusan Parlimen meluluskan pindaan kepada Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 supaya kewujudan sekolah vernakular diteruskan, adalah tidak mengikut perlembagaan.
Dalam penghakimannya, Azahar menegaskan Parlimen menggubal undang-undang berkaitan pendidikan dan perkara yang berhubung dengannya.
Beliau berkata perkara yang dikemukakan Mohd Khairul perlu dimulakan di Mahkamah Tinggi dan bukannya terus ke Mahkamah Persekutuan.
“Mahkamah Tinggi kompeten untuk mendengar cabaran seperti itu,” kata Hakim Azahar.
Mohd Khairul Azam memfailkan usul itu dengan menamakan kerajaan Malaysia dan Menteri Pendidikan selaku responden.
Mohd Khairul Azam mendakwa sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil yang ditubuhkan oleh menteri pendidikan bertentangan dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu.
Peguam Shaharudin Ali yang mewakili Mohd Khairul Azam memberitahu media mereka mungkin memfailkan usul baru berhubung isu itu di Mahkamah Tinggi.