Amah Bangladesh minta bantuan melalui video selepas ‘diseksa’ di Saudi

Tangkap layar rakaman video wanita pembantu rumah warga Bangladesh, Sumi Akter yang mendakwa didera majikan Arab Saudi.

PETALING JAYA: Seorang pembantu rumah warga Bangladesh meminta bantuan untuk diselamatkan melalui rakaman video selepas mendakwa didera majikannya di Arab Saudi.

Melalui video yang tersebar di media sosial, Sumi Akter, 25, yang tinggal di Jeddah mendakwa didera secara fizikal, dikunci dan tidak diberi makan beberapa minggu. Dia juga didera secara seksual.

“Saya mungkin tidak akan hidup lama. Tolong selamatkan saya. Mereka kunci saya selama 15 hari dan tidak memberi saya apa-apa makanan. Mereka pukul saya dan mencurah minyak panas atas tangan saya” katanya dalam bahasa Benggali, memetik laporan Stedfeed.

Akter yang terdesak untuk kembali ke tanah air, berkata dia juga “diseksa” oleh majikannya sebelum ini dan penderaan itu berterusan dengan majikan sekarang.

Memetik laporan AFP, suami Akter berkata dia berusaha membawa pulang wanita itu tetapi tidak berhasil. Menurut AFP, kerajaan Bangladesh menyeru rakan sejawatannya dari Saudi mengambil langkah yang sewajarnya untuk menjamin penghantaran balik Akter.

Perjuangan hidup Akter tercetus tidak lama selepas mayat pembantu rumah senegaranya, Nazma Begum dipulangkan pada akhir Oktober.

Begum, 45, yang meninggal dunia disebabkan “penyakit yang tidak dirawat” dilaporkan meminta anaknya menyelamatkan dia daripada penderaan majikan.

Kedua-dua Akter dan Begum terpikat untuk bekerja di Arab Saudi apabila dijanjikan pekerjaan sebagai tukang sapu di hospital, sebaliknya mereka dipaksa bekerja sebagai pembantu rumah.

Sejak 1991, kira-kira 300,000 wanita Bangladesh berhijrah ke Arab Saudi untuk mencari peluang pekerjaan di mana kebanyakan mereka dilaporkan didera secara fizikal dan seksual.

Menurut laporan Al Jazeera, sekurang-kurangnya 66 pekerja wanita Bangladesh meninggal dunia di negara itu sejak 4 tahun lalu, di mana 52 daripadanya dipercayai bunuh diri.