Bursa Malaysia ditutup tinggi, didorong belian berterusan kaunter perladangan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi semasa mengakhiri dagangan hari ini didorong belian berterusan di kaunter-kaunter perladangan iaitu Sime Darby Plantation, KLK dan United Plantations, serta saham bermodal kecil.

Bagaimanapun momentum meningkat itu dihadkan oleh pengambilan untung dalam kaunter berkaitan kewangan, yang mengalami kenaikan pada Isnin susulan keputusan Bank Negara Malaysia mengurangkan nisbah keperluan rizab berkanun daripada 3.5% kepada 3%.

Hong Leong Bank merosot 24 sen kepada RM16.96 dan Maybank susut enam sen kepada RM8.79.

Indeks itu tinggi pada kebanyakannya hari ini kecuali semasa sebelah pagi apabila ia mengalami penurunan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran meningkat 1.58 mata kepada 1,609.73 daripada 1,608.15 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka 4.03 mata lebih tinggi kepada 1,612.18 dan bergerak antara 1,605.71 dan 1,614.21 sepanjang hari ini.

Bagi pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 416 berbanding 397, manakala 429 kaunter tidak berubah, 751 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.49 bilion saham bernilai RM1.82 bilion daripada 2.37 bilion saham bernilai RM1.64 bilion semalam.

Peniaga berkata saham perladangan menjadi saham paling untung dengan Sime Darby melonjak 17 sen kepada RM5.15, KLK meningkat 16 sen kepada RM22.36 dan United Plantations menokok 10 sen kepada RM25.30.

“Ini selepas inventori minyak sawit bagi Okt merosot 4.1% bulan ke bulan kepada 2.3 juta tan, ditambah dengan peningkatan semula eksport.

“Bekalan rendah, pengeluaran lemah dan permintaan tinggi bagi minyak sawit telah mendorong harga komoditi itu meningkat lebih tinggi, justeru, kita akan menyaksikan keputusan kewangan akhir (suku keempat) yang baik bagi syarikat perladangan tahun ini,” katanya.

Mengenai faktor luaran, peniaga berkata sentimen masih berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan berhubung rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China selain situasi politik domestik Hong Kong.