Huawei beri pekerjanya ganjaran RM1.1 bilion kerana setia hadapi tekanan AS

Gergasi telekomunikasi China, Huawei Technologies akan menganugerahkan ganjaran tunai AS$286 juta (RM1.14 bilion) kepada pekerjanya yang setia.

SHENZHEN: Gergasi telekomunikasi China, Huawei Technologies akan menganugerahkan ganjaran tunai AS$286 juta (RM1.14 bilion) kepada pekerjanya yang bekerja dengan dedikasi dalam membantu mengatasi waktu-waktu sukar selepas disenarai hitam dalam perdagangan oleh AS.

Pembekal peralatan telekomunikasi terbesar di dunia itu berkata hari ini, ia telah berusaha untuk mencari alternatif kepada perkakasan Amerika Syarikat (AS), selepas dikenakan larangan pada Mei lalu daripada menjalankan perniagaan dengan firma-firma negara itu, mengganggu keupayaannya untuk mendapatkan bahagian utama.

Wang tunai itu merupakan tanda pengiktirafan atas khidmat mereka dalam menghadapi tekanan AS, kata jabatan sumber manusia Huawei dalam notis kepada kakitangan, dilihat oleh Reuters.

Ia juga akan menggandakan dua kali gaji bulan ini untuk hampir 190,000 pekerja, kata seorang jurucakap syarikat.

Ganjaran tunai mungkin akan pergi kepada pasukan penyelidikan dan pembangunan dan mereka yang berusaha mengalihkan rantaian bekalan syarikat itudari AS, demikian menurut jurucakap itu,

Butiran pelan Huawei itu pertama kali dilaporkan oleh South China Morning Post hari ini.

Ramai dalam kerajaan AS percaya peralatan Huawei, khususnya rangkaian 5G, menimbulkan risiko keselamatan, kerana hubungan syarikat itu dengan kerajaan China.

Huawei menafikan kerajaan China memainkan sebarang peranan dalam operasinya.

Walaupun menghadapi kekangan pengecualian, Huawei telah berusaha mencari alternatif setelah menyaksikan kesan buruk ekoran sekatan AS terhadap saingannya yang lebih kecil dari ZTE Corp di awal 2017.

Syarikat itu juga pembuat telefon pintar kedua terbesar di dunia dan lonjakan dalam penghantaran peranti membantunya melaporkan peningkatan 27% pada suku ketiga pendapatan bulan lepas.