Timbalan presiden PAS minta Guan Eng tunjuk bukti

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

PETALING JAYA: Tuan Ibrahim Tuan Man meminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengemukakan bukti kononnya pemimpin PAS termasuk dirinya menyeru diadakan dasar-dasar yang akan menamatkan hak orang bukan Islam dan rakyat Malaysia bukan Melayu.

Timbalan presiden PAS itu berkata, Lim tidak perlu melihat nasib bukan Islam, sebagai contoh di Kelantan, yang tidak pernah ditindas di bawah pentadbiran parti itu sepanjang tiga dekad ia memerintah negeri tersebut.

“Saya cabar Guan Eng agar mengemukakan bukti di mana kenyataan pimpinan PAS menyeru dasar-dasar yang akan menamatkan hak-hak orang bukan Islam dan rakyat Malaysia bukan Melayu.

“PAS dan Umno bukan parti baru dalam pemerintahan dan politik Malaysia.

“Guan Eng jangan butakan mata, tengok apa yang ada di Kelantan. Bukan Muslim bebas beramal agama mereka dan tiada yang disekat perniagaan atau perjawatan dalam Kerajaan,” kata beliau kepada FMT.

Tuan Ibrahim berkata, kenyataan Guan Eng itu sebenarnya menggambarkan kebimbangan DAP terhadap keterbukaan PAS dan Umno mengadakan kerjasama menyokong calon MCA menghadapi pilihan raya kecil Tanjung Piai.

“Saya melihat ketakutan DAP bila PAS dan Umno mengadakan kerjasama dan mencalonkan wakil MCA di Tanjung Piai,” kata beliau.

Tuan Ibrahim digambarkan sebagai ahli politik yang tidak jujur dan tidak beretika oleh Lim, yang menuduh pemimpin nombor dua PAS itu dan partinya menyeru dasar-dasar yang akan menamatkan hak-hak orang bukan Islam dan rakyat Malaysia bukan Melayu.

Lim juga membidas MCA kerana menerima perikatan politik Umno-PAS pada pilihan raya kecil Tanjung Piai hujung minggu ini, walaupun kedua-dua parti itu tidak menarik balik atau memohon maaf atas kenyataan yang memberi kesan pada hak orang bukan Islam dan bukan Melayu.