Belanjawanku: Panduan perbelanjaan kesihatan tidak realistik?

Belanjawanku merupakan sebuah panduan perbelanjaan untuk isi rumah yang berbeza-beza di Malaysia.

Panduan yang dibangunkan hasil usaha sama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pusat Kajian Kebajikan Sosial Universiti Malaya (SWRC) ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan kewangan dalam kalangan masyarakat.

Namun, terdapat beberapa peruntukan yang dilihat tidak masuk akal dalam panduan perbelanjaan ini.

Panduan perbelanjaan untuk kecelikan kewangan

Panduan ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membolehkan rakyat Malaysia membuat keputusan kewangan yang efektif dan rasional.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, kadar kecelikan kewangan yang rendah merupakan salah satu punca utama mengapa ramai rakyat Malaysia akhirnya menjadi bankrap.

Dakwaan ini dibuat berdasarkan kajian oleh S&P Global Literacy Financial (2014) yang menganggarkan tahap kecelikan kewangan nasional hanyalah pada 36% berbanding 59% di negara-negara maju.

Dengan panduan perbelanjaan yang berbeza mengikut jenis isi rumah, Belanjawanku memberi gambaran kepada rakyat Malaysia bagaimana untuk berbelanja, dalam masa yang sama, mampu untuk melibatkan diri dalam aktiviti keluarga dan masyarakat.

Antara aspek yang digariskan dalam panduan perbelanjaan:

  • Kesihatan
  • Utiliti
  • Penjagaan peribadi
  • Pengangkutan
  • Penyertaan sosial
  • Makanan
  • Rumah
  • Perbelanjaan Ad hoc
  • Simpanan
  • Penjagaan anak
  • Perbelanjaan atas budi bicara (Discretionary expenses)

Jenis isi rumah yang dinyatakan dalam perbelanjaan ini:

  • Orang bujang yang menggunakan pengangkutan awam
  • Orang bujang yang menggunakan kenderaan sendiri
  • Pasangan yang sudah berkahwin (tanpa anak)
  • Pasangan yang sudah berkahwin (dengan satu orang anak)
  • Pasangan yang sudah berkahwin (dengan dua orang anak)
  • Pasangan warga emas

Panduan yang tidak realistik

Walaupun liputan perbelanjaan dalam panduan ini kebanyakannya rasional dan dilihat komprehensif, terdapat beberapa aspek yang dilihat sangat tidak masuk akal dan seolah-olah tidak berpijak di bumi yang nyata.

Sebagai contoh, merentasi jenis isi rumah yang berbeza, tidak ada satu pun peruntukan perbelanjaan untuk kesihatan yang melebihi nilai RM150.

Ini kerana salah satu andaian yang dibuat dalam panduan perbelanjaan ini adalah rakyat Malaysia rata-ratanya sihat.

Walaupun mereka jatuh sakit, diandaikan bahawa servis kesihatan yang diperoleh adalah melalui klinik atau hospital kerajaan.

Kedua-dua andaian ini adalah bermasalah kerana realiti kesihatan masyarakat di Malaysia adalah tidak begitu optimistik.

Lebih 40% daripada rakyat Malaysia berusia 30 tahun dan ke atas adalah penghidap hipertensi manakala lebih 20% individu berusia 18 tahun dan ke atas adalah penghidap diabetes.

Terdapat juga beban penyakit tidak berjangkit yang besar di Malaysia dan bukan semua rawatan itu mempunyai subsidi.

Sebagai contoh, kecederaan tulang akibat daripada kemalangan lazimnya memerlukan implan dan juga suntikan pelincir sendi tertentu.

Kos implan dan juga suntikan ini bukanlah sesuatu yang diliputi subsidi kerajaan dan ia boleh menelan belanja sekitar RM1,500 hingga RM10,000!

Lebih malang lagi jika pembedahan tersebut memerlukan graf tendon daripada kadaver untuk penstrukturan semula bahagian badan.

Kos untuk mendapatkan graf kadaver ini dengan mudahnya dapat menelan sekurang-kurangnya RM30,000.

Jika kita menganggap rakyat Malaysia tersebut mempunyai perlindungan insuran, anggaran peruntukan yang diberikan masih tidak mencukupi.

Ini kerana tidak ada satu pelan insuran perubatan yang menawarkan bayaran bulanan serendah RM30 (berdasarkan peruntukan perubatan Belanjawanku untuk orang bujang).

Peruntukan perubatan tertinggi pula sekitar RM130 dalam seisi rumah jenis pasangan warga emas.

Sekali lagi, ini masih tidak masuk akal kerana premium insuran perubatan hanya akan meningkat dengan usia yang lanjut.

Perlindungan insurans perubatan sedia ada yang paling rendah sekalipun hanyalah sekitar RM150.

Kesimpulannya, Belanjawanku merupakan sebuah usaha yang bagus untuk meningkatkan tahap kecelikan kewangan dalam rakyat Malaysia.

Namun terdapat beberapa anggaran yang dilihat tidak munasabah.

Justeru, banyak ruang untuk penambahbaikan dalam panduan perbelanjaan ini agar ia mampu menggambarkan situasi sebenar yang dihadapi rakyat.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]