Beri Kementerian Pendidikan kelonggaran tambah guru, kata NUTP

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) hari ini memohon Kementerian Pendidikan (KPM) turut dikecualikan daripada sekatan penambahan kakitangan kerajaan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) memohon Kementerian Pendidikan (KPM) turut dikecualikan daripada sekatan penambahan kakitangan kerajaan bagi mencapai agenda berterusan dalam transformasi pendidikan.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata KPM merupakan sebuah kementerian yang diwujudkan untuk melestarikan sistem pendidikan berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara atau lebih tepat mewujudkan kemenjadian murid.

“Justeru itu NUTP berpendapat KPM perlu lebih ramai kakitangan bagi melaksana visi dan misi kementerian.

“Masyarakat juga sedia maklum tugas serta fokus utama seorang pendidik, guru atau tenaga pengajar ialah mendidik anak bangsa.

“Namun mereka masih dibebani dengan kerja-kerja tidak relevan contohnya terpaksa melaksana tugas perkeranian, guru perlu menjadi warden asrama dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Tan berkata bagi mengatasi masalah bebanan kerja dihadapi guru, beliau berpendapat perkara itu dapat diselesaikan dengan melantik pembantu guru, mewujudkan jawatan warden asrama dan menyerap Anggota Kumpulan Pelaksanan (AKP) ke jawatan tetap.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berharap kementerian itu dikecualikan sekatan tersebut memandangkan kementerian memerlukan lebih ramai kakitangan bagi menampung fasiliti perkhidmatan kesihatan yang baru dibuka, selain menangani masalah kekurangan jawatan.