‘Biru’ dan ‘hijau’ sepentas di ceramah Pemuda Muafakat Nasional

(Dari kiri) Khairil Nizam Khirudin, Nicole Wong, Asyraf Wajdi Dusuki, dan R Thinalan. (Gambar Facebook)

PEKAN NANAS: Pemuda Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC duduk sepentas dengan PAS dalam ceramah “Pemuda Muafakat Nasional” di sini, malam tadi.

Ceramah itu dihadiri Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin; Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong dan Ketua Pemuda MIC, R Thinalan. Ia turut dihadiri calon BN, Wee Jeck Seng.

Kira-kira 300 hadirin datang ke ceramah yang berlangsung selama 3 jam itu dan mereka melaungkan slogan anak muda bangkit.

Dalam ceramah itu, kelihatan Khairil duduk bersebelahan dengan Nicole, diikuti Asyraf dan Thinalan yang menandakan kerjasama yang sedang dijalankan.

Thinalan berkata beliau amat gembira gelombang biru di sekitar Tanjung Piai semakin meningkat.

Katanya, ini boleh dikatakan sokongan padu kepada Wee yang akan diberikan pengundi Tanjung Piai.

Kira-kira 300 pengunjung menghadiri ceramah ‘Pemuda Muafakat Nasional’ Pekan Nanas, malam tadi. (Gambar Facebook)

“Kita hari ini menampilkan 4 pemuda berbeza parti sepentas. Inilah kita BN dan PAS. Apabila gelombang biru dengan gelombang hijau berpadu kita dapat muafakat nasional.

“Inilah dikatakan muafakat nasional. Tetapi di sana dia orang bukan padu tetapi bergaduh,” katanya.

Sementara itu, Khairil berkata beliau kagum dengan Nicole yang mencipta sejarah apabila membuktikan wanita boleh memimpin gerakan belia.

“Alhamdulilah dapat bersama-sama anak muda menunjukkan barisan pembangkang sedang bersatu.

“Kalau dulu ada BN memerintah 60 tahun. Di sini kita pembangkang memerintah lebih 60 tahun. Penting atau tidak. Penting sebab kita sedang jadi pembangkang,” katanya.

Nicole sebelum memulakan ceramahnya sempat melaungkan salam muafakat nasional.

“Tidak terlupa salam pemuda buat orang di Tanjung Piai. Saya ingin ucap terima kasih pada rakan-rakan yang hadir.

“Rakan baru saya, Khairil. Saya ingin mewakili MCA untuk terima kasih kepada rakan-rakan baru dan lama bahawa ramai di sini memberi sokongan calon kita dari MCA,” katanya.

Asyraf pula berterima kasih kepada semua yang hadir dan bangga dengan semangat mereka.

Beliau berkata ini semangat dalam muafakat nasional dan kerjasama ini membuktikan tiada rasis.