Turki tembak mati orang awam Syria semasa rondaan, 6 lagi cedera

Tentera Turki sedang mengadakan rondaan bersama anggota tentera Russia. (Gambar AP)

QAMISHLI: Sekurang-kurangnya seorang orang awam Syria terbunuh akibat tindakan pasukan Turki semasa rondaan bersama tentera Russia semalam, berhampiran bandar sempadan Kobane, kata pihak berkuasa Kurdis.

“Kenderaan Turki mengambil bahagian dalam rondaan bersama polis tentera Russia, yang menyasarkan orang awam yang tidak bersenjata ketika mereka melewati kampung-kampung Shiran dan Kurbinkar, di sekitar Kobane,” kata pasukan keamanan dalaman Kurdis, Asayish dalam satu kenyataan.

Ia berkata pasukan Turki mula-mula menggunakan gas pemedih mata semasa demonstrasi dan kemudian melepaskan tembakan, membunuh seorang orang awam dan mencederakan enam yang lain.

Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata sembilan orang cedera akibat tindakan pihak Turki di kawasan itu, dengan dua daripadanya berada dalam keadaan kritikal.

Ia kali kedua orang awam terbunuh semasa demonstrasi terhadap rondaan Turki-Rusia di wilayah barat laut Syria yang sebelum ini dikuasai pasukan Kurdis.