Tak mahu lepaskan rakyat di tengah jalan, Prabakaran jawab desakan lepas kerusi

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran menegaskan beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat kawasannya, disebalik desakan beberapa NGO yang mahu beliau melepaskan kerusinya untuk memberi laluan kepada pemimpin PKR, Tian Chua.

Wakil rakyat itu, 23, yang termuda pada penggal ini berkata, laporan media berhubung desakan kumpulan-kumpulan berkenaan tidak menjejaskan tugas hariannya.

Sementara itu, Prabakaran masih menganggap dirinya sebagai ahli Parlimen PKR, dan ingin menyumbang tenaga untuk parti itu dan agenda reformasinya.

“Saya akan berkhidmat untuk rakyat secara telus dan adil tanpa melepaskan mereka di pertengahan jalan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam 14 NGO mahu pilihan raya kecil diadakan di kerusi di Kuala Lumpur itu selepas Mahkamah Tinggi pada 6 Nov lalu memutuskan pelucutan hak pencalonan Tian sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak sah.

Prabakaran menerima desakan itu dengan hati terbuka, dan memaklumkan Tian tidak pernah mendesaknya melepaskan kerusi Batu.

Semalam, pemimpin PKR itu ketika dihubungi berkata beliau akan mengulas perkembangan ini selepas Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada 16 Nov ini.

“Beliau tidak pernah mendesak saya dalam apa jua isu dan tidak pernah berunding secara terus dengan saya mengenai tugasan atau melepaskan jawatan saya sebagai seorang ahli Parlimen selepas pilihan raya atau pun selepas keputusan mahkamah yang menyebelahi Tian,” katanya.

Prabakaran juga tahu tentang beberapa NGO-NGO terbabit, mengatakan beliau pernah membantu mereka secara langsung.

“Ada juga aduan mengenai beberapa NGO yang tersenarai bahawa itu kenyataan seseorang individu dan bukan oleh NGO tersebut,” katanya.