Anwar bidas isu Azmin, pemimpin tak boleh keluar arahan sendiri

Presiden PKR Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA: Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini membidas isu sekitar timbalannya, Azmin Ali susulan kontroversi mengenai tugas merasmikan kongres nasional Pemuda parti.

Azmin sebelum ini mendakwa ada “tangan ghaib” di sebalik pembatalan undangan kepadanya, selepas Ketua Pemuda Akmal Nasir mengumumkan kongres pada 6 Dis ini akan dirasmikan oleh bekas presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Tiada siapa boleh beri kata dua, tiada siapa patut angkuh dalam membuat ketetapan,” kata Anwar kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai isu Azmin yang menjadi isu besar dalam PKR.

“Keputusan dibuat oleh biro politik dan juga majlis pimpinan pusat, bukannya keputusan setiausaha agung. Ia keputusan pimpinan parti dalam mesyuarat bulan,” katanya.

Anwar bagaimanapun tidak menjelaskan “kata dua” dan “ketetapan” itu.

Mengenai dakwaan Azmin tentang cubaan menutup mulutnya daripada menegur kepimpinan PKR, Anwar mengingatkan timbalannya bahawa pimpinan akan bermesyuarat setiap bulan.

“Ada tengok bulan atau langitkah?” katanya menjawab hal “tangan ghaib”.

“Mesyuarat biro politik dua kali sebulan atau mingguan, mesyuarat majlis pimpinan pusat (MPP) setiap bulan. Semua boleh bagi pandangan, semua boleh bantah bantah dan tolak, ini semua keputusan yang dibuat dalam MPP,” tambahnya.

Anwar berkata sebarang perubahan mesti dibuat menerusi mesyuarat pimpinan, dan bukan kerana ugutan mana-mana orang.

“Saya ikut keputusan mesyuarat,” tambahnya.

Anwar turut menepis kenyataan pemimpin PKR Sarawak yang mengugut untuk membatalkan konvensyen peringkat negeri.

Terdahulu, Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian bersama beberapa pemimpin negeri tidak berpuas hati undangan kepada Azmin sebagai perasmi kongres Pemuda dibatalkan.

Baru mengumumkan konvensyen negeri yang dijadualkan pada 23 Nov ini dibatalkan sehingga “krisis” diselesaikan.

“Itu hanya beberapa orang tokoh Sarawak…kebanyakan ketua-ketua cabang mahu konvensyen diteruskan. Itu saya tengok berdasarkan keputusan jawatankuasa konvensyen,” katanya.