Badan pemikir berkait MCA ramal BN menang besar di Tg Piai

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir berkait MCA meramalkan Barisan Nasional akan menang Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai esok, menewaskan gabungan pemerintah dengan majoriti lebih 7,000 undi.

Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap) berkata, berdasarkan temubual di lapangan yang dijalankan sepanjang dua minggu lalu, lebih separuh responden – pengundi Melayu dan Cina – memberikan isyarat mereka akan mengundi menentang Pakatan Harapan pada hari pengundian nanti.

“Tetapi ia bukanlah kerana pengundi Tanjung Piai sekarang lebih menyayangi BN. Ia mengenai pengundi kecewa dengan PH,” kata Timbalan Pengerusi Pemula Yong dalam kenyataan.

Yong juga berkata pengundi Cina menyatakan dengan jelas mereka akan undi Wee Jeck Seng, dan bukannya BN, kerana sumbangannya dalam dua penggal sebagai ahli Parlimen kawasan itu sebelum ini.

Wee, dari MCA, adalah wakil rakyat Tanjung Piai dari 2008 hingga 2018.

Masyarakat Melayu pula, katanya, akan mengundi BN susulan pakatan PAS-Umno dan piagam yang dimeterai dua parti Melayu-Islam terbesar itu awal tahun ini.

Yong berkata berdasarkan tinjuannya, sokongan Cina kepada BN akan menyaksikan peningkatan sebanyak 45% daripada 32% yang diperoleh pada pilihan raya 9 Mei tahun lepas.

Sokongan daripada masyarakat Melayu pula pada tahap 70%.

“Berdasarkan dapatan semasa Insap dan tinjuan sebelum ini, kami meramalkan calon BN Wee akan menang pilihan raya kecil ini dengan margin meyakinkan dan dapat kembali kerusi yang hilang pada PRU14,” katanya.

Pada pilihan raya umum lepas, Md Farid Md Rafik dari PPBM mengalahkan Wee dengan 524 undi. Farid meninggal dunia pada 21 Sept, mencetuskan pilihan raya itu.

Wee terlibat dalam persaingan enam penjuru bersama Karmaine Sardini (PH), Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas iaitu Faridah Aryani Abdul Ghaffar dan Ng Chuan Lock.

Sementara itu, Insap meramalkan Gerakan akan dapat sekitar 700 undi, manakala calon Berjasa dan dua calon Bebas akan dapat kurang daripada 200 undi.