Bangladesh tahan bot bawa 119 pelarian Rohingya ke Malaysia

Pengawal pantai Bangladesh memintas sebuah bot kayu membawa 119 pelarian Rohingya yang hampir karam ketika dalam perjalanan ke Malaysia. (Gambar Reuters)

TEKNAF: Pengawal pantai Bangladesh memintas sebuah bot kayu membawa 119 pelarian Rohingya yang hampir karam ketika dalam perjalanan ke Malaysia.

Jurucakap pengawal pantai, Saiful Islam berkata, bot itu ditahan hasil maklumat daripada nelayan ketika berada di perairan Teluk Benggala, di luar pantai pulau Saint Martin di selatan Bangladesh.

Sehingga kini, hampir sejuta pelarian Rohingya tinggal di beberapa kem di sempadan Bangladesh dan Myanmar.

Berikutan kurangnya peluang pekerjaan dan pendidikan di kem pelarian, kebanyakan mereka mencuba nasib di beberapa negara jiran seperti Malaysia dan Thailand.

“Kami berjaya menemui bot yang hampir karam akibat masalah enjin.

“Jika kami lewat tiba di lokasi (bot), ia pasti sudah tenggelam,” kata Saiful.

Beliau berkata, seramai 119 pelarian, termasuk 58 wanita dan 14 kanak-kanak berada di dalam bot berkenaan.

Katanya, ia adalah jumlah tertinggi yang dicatatkan sepanjang tahun ini, membabitkan pelarian Rohingya yang diselamatkan daripada karam.

Setakat ini, lebih 500 etnik Rohingya ditahan di beberapa perkampungan di pesisir pantai, selain yng menaiki bot untuk ke Malaysia.