Batal Azmin perasmi kongres: Veteran PKR tegur Akmal langgar tradisi parti

Veteran PKR, Hassan Abdul Karim.

PETALING JAYA: Veteran PKR hari ini menggesa Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir menjemput semula Timbalan Presiden Azmin Ali sebagai perasmi Kongres Nasional Pemuda PKR, bulan depan.

Hassan Abdul Karim menerusi surat terbukanya kepada Akmal turut menasihati ahli Parlimen Johor Bharu itu tidak melanggar tradisi PKR di mana menjadi kelaziman timbalan presiden dijemput merasmikan mesyuarat agung atau kongres.

“Apakah faedahnya melanggar tradisi ini? Bukan semua tradisi itu buruk.

“Azmin telah dijemput untuk merasmikan Kongres. Jadi kenapa dibatalkan jemputan itu? Ini tidak manis dan tidak patut, timbalan presiden parti kita sendiri diperlakukan begitu,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, Akmal sepatutnya mengikuti suara majoriti Pemuda PKR yang mahukan Azmin kekal sebagai perasmi kongres.

“Saya bukan ahli Pemuda PKR. Saya sudah tua. Sudah warga emas. Saya ahli biasa PKR. Sudah jadi ahli veteran PKR seumur hidup. Saya sudah bayar yuran jadi ahli PKR seumur hidup.

“Saya hanya seorang ahli parlimen biasa PKR yang sayangkan parti ini. Saya mahu PKR bersatu. Sudah-sudahlah berpecah-belah. Berjiwa besarlah kita semua. Pemuda PKR sepatutnya memainkan peranan menjadi tenaga penyatuan dalam parti, di situlah peranan pemimpin pelapis,” katanya.

Krisis dalaman pemuda PKR tercetus apabila Akmal mengumumkan pembatalan jemputan ke atas Azmin walaupun majoriti pimpinan sayap pemuda yang memenangani pemilihan bersetuju timbalan presidennya sebagai perasmi.

Kenyataan itu semakin panas apabila Azmin ketika mengulas soal tindakan Pemuda PKR membatalkan jemputan sebagai perasmi menyifatkan wujud tangan ghaib yang mendorong Akmal bertindak demikian.

Akmal kemudian menafikan tuduhan Azmin dengan mendakwa sikap Azmin tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik selama setahun serta sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan parti sebagai “tangan ghaib” yang merosakkan PKR.