Belasah Montenegro 7-0, England ke pusingan akhir Euro 2020

Keputusan mengalahkan Montenegro 7-0 semalam meletakkan England di tangga teratas Kumpulan A dengan 18 mata dan berbaki satu perlawanan menentang Kosovo Isnin depan. (Gambar AP)

LONDON: England menempah tiket ke pusingan akhir Euro 2020 selepas membelasah Montenegro 7-0 di sini awal pagi tadi dengan kaptennya, Harry Kane melakukan hatrik.

Keputusan itu meletakkan The Three Lions di tangga teratas Kumpulan A dengan 18 mata dan berbaki satu perlawanan menentang Kosovo Isnin depan, manakala Montenegro terikat tiga mata dengan Bulgaria di tangga tercorot.

Pengurus England Gareth Southgate sekali lagi meletakkan kepercayaan pada pemain remaja dengan purata usia kesebelasan utama dalam lingkungan 23 tahun, pasukan termuda The Tree Lions sejak 1959.

“Kami memenangi kumpulan yang patut kami kuasai dan ternyata kami memenanginya dengan selesa.

“Kami menemui cara bermain menentang pasukan bawahan yang lebih kerap bertahan sekali gus memecah benteng mereka, yang mana mungkin sebelum ini kami gagal,” kata Southgate.

Pemain tengah, Alex Oxlade-Chamberlain meletakkan England di depan seawal minit ke-11 dengan rembatan rendah ke penjuru gol selepas menyambut hantaran lambung pertahanan kiri Ben Chilwell.

Pemain Leicester City, Chilwell mencipta gol kedua tujuh minit kemudian menerusi sepakan percuma yang ditanduk masuk Kane. Kane sekali lagi menanduk masuk gol ketiga susulan sepakan sudut Chilwell.

Penyerang Manchester United, Marcus Rashford merembat masuk gol keempat selepas penjaga gol Montenegro, Milan Mijatovic menumbuk keluar tandukan Harry Maguire.

Kane melengkapkan hatriknya pada minit ke-37 dengan gerakan badan yang mengelirukan sebelum merembat leret ke penjuru bawah gol ketika England mendahului 5-0 sebelum rehat.

Jaringan Mason Mount dibatalkan kerana ofsaid, namun gol sendiri Aleksandar Sofranac menjadikan kedudukan 6-0 selepas pergelutan dalam kotak penalti.

Pemain gantian Tammy Abraham meraih gol pertamanya bersama England enam minit sebelum tamat apabila menampan masuk hantaran leret Jadon Sancho dari jarak dekat.

“Kami kalah sekali dalam kumpulan sebelum ini, tetapi berjaya bangkit. Saya fikir dengan lima gol yang dihasilkan pada babak pertama, kami berjaya mempamerkan sesuatu pada perlawanan antarabangsa ke-1,000 kami,” kata Kane, yang melonjak ke tangga kelima dalam senarai penjaring terbanyak England sepanjang zaman.