Bunuh ibu kandung: Penganggur berdepan hukuman mati

Mohd Ridzuan Mustafa dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini atas tuduhan membunuh ibu kandungnya yang lumpuh di rumah mereka Selasa lepas. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Seorang penganggur berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh ibu kandungnya yang lumpuh di rumah mereka di sini Selasa lepas.

Tertuduh Mohd Ridzuan Mustafa, 38, sekadar mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mohd Ridzuan didakwa membunuh Sefiah Hamid, 62, antara 8.40 pagi hingga 10.30 pagi, 12 Nov lepas di sebuah rumah di Taman Kampung Padang di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Pada prosiding itu, tertuduh tidak diwakili peguam. .

Nordiana memerintahkan supaya tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Johor dan menetapkan 17 Dis ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan mental tertuduh.

Media pada Selasa lepas melaporkan seorang lelaki yang dipercayai menghidap masalah mental menikam leher ibunya sehingga mati, sebelum membawa jenazah wanita itu yang diletakkan di atas kerusi roda keluar dari rumah.

Suspek dikatakan menolak kerusi roda itu sejauh 50 meter sebelum disedari sekumpulan penduduk yang sedang bersarapan di kedai kopi di situ.