Cederakan anjing dengan kejam: 2 lelaki dihadap ke mahkamah

Amir Abd Salim Meor Lope dan S Mathialakan dihadapkan ke ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan mencederakan anjing dengan kejam. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, masing-masing atas pertuduhan mencederakan seekor anjing dengan kejam pada Januari dan November lepas.

Pemandu peribadi, Amir Abd Salim Meor Lope, 51, dan pemandu lori, S Mathialakan, 55, selaku Orang Kena Saman (OKS), mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Berdasarkan pertuduhan, Amir didakwa dengan kejamnya mencederakan seekor anjing sehingga menyebabkan kesakitan yang tidak sepatutnya di belakang bengkel kereta tidak bernombor di Jalan Miri, Taman Beringin, Jinjang Utara di sini antara 4 dan 5 Jan lepas.

Mathialakan pula dituduh melakukan perbuatan sama di hadapan sebuah rumah, di Taman Maluri, di sini, pada 7.23 pagi, 10 Nov lepas.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum menurut Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pegawai pendakwa dari Jabatan Veterinar Wilayah Persekutuan, Hasiah Musa menawarkan jaminan masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua OKS.

Mathialakan yang diwakili peguam SI Rajah, manakala Amir Abd Salim yang tidak diwakili peguam, merayu jaminan rendah dengan alasan mereka penanggung utama keluarga.

Mahkamah membenarkan kedua-dua OKS masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Dis untuk sebutan semula kes.