Dua wanita didakwa bunuh bayi usia 23 bulan

Seorang pegawai Jakim dan rakan serumah hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan membunuh bayi berusia 23 bulan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Seorang pegawai wanita Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan rakan serumahnya hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan membunuh bayi berusia 23 bulan.

Mengikut kertas pertuduhan, pegawai Jakim, Nor Aisyah Mohd Yunus (ibu kepada bayi itu), 37, dan Noor Aisyah Ibrahim, 33, seorang pegawai pendidikan Islam di Kementerian Pendidikan Malaysia didakwa bersama-sama membunuh Muhammad Alfateh Hamdi di sebuah rumah di Jalan P5A/5 Fasa 5R4, Presint 5, Putrajaya, di antara pertengahan bulan Sept 2019 sehingga 4 Nov 2019.

Tiada pengakuan diambil daripada kedua-dua wanita itu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Majistret Shah Wira Abdul Halim memerintahkan kedua-dua wanita itu dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan pakar.

Terdahulu, peguam Najib Zakaria yang mewakili Aisyah Yunus membuat permohonan untuk merujuk wanita itu ke Hospital Bahagia untuk penilaian psikiatri.

Najib, yang juga menyebut bagi peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Aisyah Ibrahim, membuat permohonan sama untuk merujuk Aisyah Ibrahim ke hospital untuk penilaian psikiatri.

Najib juga memberitahu mahkamah beliau akan memfailkan permohonan jaminan bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan pada tarikh yang akan datang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi.

Majistret Shah Wira menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan kes.