Hampir RM2 juta wang Yayasan Tun Hussein Onn berkait skandal 1MDB kini milik kerajaan

Wang berjumlah RM1,980,328.37 yang dibekukan daripada akaun Yayasan Tun Hussein Onn kerana didakwa berkaitan skandal 1MDB dilucut hak kepada kerajaan.

KUALA LUMPUR: Wang berjumlah RM1,980,328.37 yang dibekukan daripada akaun Yayasan Tun Hussein Onn kerana didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB kini menjadi harta kerajaan.

Peguam Hariharan Tara Singh yang mewakili yayasan itu memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Ahmad Shahrir Mohd Salleh bahawa anak guamnya, yang merupakan responden dalam permohonan itu, bersetuju wang RM1,980,328.37 dilucut hak kepada kerajaan.

Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihaknya akan menarik balik permohonan lucut hak itu selepas SPRM memperoleh wang berkenaan daripada yayasan tersebut.

“Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan terhadap yayasan tersebut mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan,” katanya pada sebutan kes itu hari ini.

Shahrir membenarkan wang RM1,980,328.37 daripada akaun yayasan itu dilucutkan hak kepada kerajaan.

Dalam kes lain, Shahrir juga membenarkan wang berjumlah RM121,205 yang dibekukan daripada akaun Rayhar Travels Sdn Bhd dilucutkan hak kepada kerajaan.

Peguam Mat Yunus Sharif mewakili agensi itu memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya bersetuju wang tersebut dilucut hak kepada kerajaan, manakala Allan berkata pihaknya menarik balik permohonan lucut hak itu selepas SPRM memperoleh wang berkenaan.

Di Mahkamah Tinggi lain, Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan 26 Dis untuk pendengaran kes pelucutan hak wang berjumlah RM11.9 juta milik ahli perniagaan, Bustari Yusuf yang disita SPRM didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Perkara itu dimaklumkan Allan selepas sebutan kes itu di kamar Hakim Sequerah yang turut dihadiri peguam Kamarul Hisham Kamaruddin bertindak bagi pihak Bustari.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya pada sidang akhbar baru-baru ini berkata permohonan pelucutan hak difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas perdana menteri Najib Razak.