Harapan calon Tg Piai menjelang hari penentuan esok

Enam calon yang bersaing dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai (dari kiri) Faridah Aryani Abd Ghaffar (Bebas), Wendy Subramaniam (Gerakan) Ang Chuan Lock (Bebas), Karmaine Sardini (PH), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan Wee Jeck Seng (BN).

TANJUNG PIAI: Tepat 12 tengah malam ini tamatlah tempoh berkempen selama 14 hari bagi kesemua enam calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Setelah dua minggu mengerah keringat setiap jentera dan strategi kempen masing-masing, esok bakal diketahui siapa wakil rakyat Tanjung Piai yang baru.

Dalam debaran menunggu keputusan yang akan diumumkan malam esok, setiap calon sudah tentu mempunyai harapan masing-masing.

FMT menemu bual empat calon parti bertanding iaitu dari Barisan Nasional, Wee Jeck Seng; Pakatan Harapan, Karmaine Sardini; Gerakan, Wendy Subramaniam; dan Berjasa, Badhrulhisham Abdul Aziz.

Karmaine berharap pengundi akan keluar mengundi seramai mungkin.

Oleh itu kata beliau, 80% keluar mengundi adalah angka yang baik.

“Saya harap pengundi Tanjung Piai yang duduk di luar juga balik undi. Harapan saya mereka masih lagi menyokong PH kerana ini pilihan terbaik untuk mereka,” kata beliau yang juga Ketua PPBM Bahagian Tanjung Piai.

Karmaine berkata sekiranya beliau terpilih, segala pembangunan yang dirancang akan dilaksanakan.

“Berdasarkan kempen selama 14 hari ini, nampak positif. Insya-Allah PH kekal di Tanjung Piai,” katanya.

Sementara itu, Wee berkata selaku anak kampung Batu 2 Kampung Sawah beliau memahami erti kesusahan dan kesukaran hidup di Tanjung Piai.

Oleh itu katanya, jika dipilih semula menjadi ahli Parlimen beliau akan memastikan kebajikan di Tanjung Piai terus dijaga.

“Kerajaan PH kata nak bantu rakyat tetapi janji manifesto mana? Hanya janji kosong. Kalau tak tunai dosa.

“Harga barangan melambung dan pendapatan berkurang. Saya harap kerajaan hari ini jangan tipu lagi,” katanya.

Gelanggang Tanjung Piai menyaksikan persaingan enam penjuru antara PH, BN, Gerakan, Berjasa, dan dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Calon Gerakan, Wendy pula berkata melihat maklum balas yang positif daripada pengundi di Tanjung Piai sepanjang 14 hari berkempen.

Wendy berharap pengundi akan keluar mengundi untuk menunjukkan pendirian tidak berpuas hati terhadap BN dan PH, sebaliknya mengundi beliau selaku calon Gerkaan.

“Kalau saya menang, saya akan derma gaji saya. Gaji ahli Parlimen RM16,000 dan elaun untuk diderma kepada kebajikan dan aktiviti sosial di Tanjung Piai,” katanya.

Calon Berjasa, Badhrulhisham berharap orang Tanjung Piai memberi peluang kepada Berjasa untuk mewakili mereka di Parlimen.

“Bagi menghantar dengan jelas mesej penyatuan dan perpaduan untuk semua bermula era politik Melayu,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PPBM pada 21 Sept lalu.

Pada PRU14 tahun lalu, Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS), dengan majoriti 524 undi.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK Tanjung Piai pada 12 Nov manakala hari mengundi esok.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pekan Nanas dan Kukup dengan jumlah keseluruhan pengundi yang layak memilih ialah 52,986 orang termasuk 280 pengundi awal dan lapan pengundi luar negara.

PRK Tanjung Piai ini pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH mengambil tampuk kepemimpinan pusat susulan kemenangan pada PRU Mei tahun lalu.

Kali terakhir pilihan raya kecil diadakan ialah PRK Parlimen Sandakan di Sabah Mei lalu.

PRK Tanjung Piai ini juga PRK pertama di Johor sejak Mei 2018.