Jual tanah TRX tak selesai hutang 1MDB, Tony Pua bidas Asyraf Wajdi

Projek Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA: Setiausaha publisiti DAP Tony Pua hari ini membidas ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki kerana bertanya kenapakah Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak menjual aset 1MDB untuk membayar hutang syarikat itu yang dianggarkan berjumlah RM50 bilion.

Bercakap dalam satu ceramah di Tanjung Piai awal minggu ini, Asyraf berkata, nilai tanah Tun Razak Exchange (TRX), iaitu sebuah pusat kewangan baru yang dibangunkan oleh 1MDB, kini berharga RM40 bilion.

Bagaimanapun Pua, yang juga merupakan ahli Parlimen Damansara berkata, angka RM40 bilion yang kerap dikaitkan dengan TRX adalah nilai pembangunan kasarnya, bukan nilai aset atau keuntungan yang boleh diperolehi daripada projek tersebut.

“Menurut penilaian terkini yang dibuat oleh C H Williams Talhar & Wong pada 29 Julai 2015, aset tanah TRX adalah bernilai RM2.8 bilion sahaja,” katanya dalam satu kenyataan

Beliau berkata, terdapat juga pinjaman sebanyak RM800 juta untuk projek itu serta pendahuluan berjumlah RM2.8 bilion yang diberikan oleh kerajaan bagi menyelamatkan projek berkenaan yang “nyaris terbengkalai” di bawah kerajaan sebelum ini.

“Oleh demikian, penjualan aset tanah TRX tidak akan dapat menyelesaikan masalah skandal hutang 1MDB sebanyak RM50 bilion akibat penyelewengan dan salah guna kuasa oleh Umno dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Pua juga berkata, penilaian tanah TRX juga tidak mengambil kira fakta bahawa aset tanah terbabit dijual oleh kerajaan kepada 1MDB pada harga rendah, iaitu sebanyak RM230 juta atau RM75 satu kaki persegi.

Menurutnya, ini bermakna aset TRX merupakan kurniaan kerajaan kepada 1MDB, bukannya keuntungan yang diperolehi melalui usahanya sendiri.

“Oleh itu, kalau pun aset tanah TRX dapat dijual pada harga RM40 bilion seperti didesak oleh Asyraf, ia merupakan penjualan tanah yang sebenarnya dimiliki oleh kerajaan dan rakyat Malaysia untuk membayar hutang 1MDB.”

Menurut laman webnya, TRX merupakan satu projek pembangunan bersepadu yang akan menjadi pusat baru perniagaan di Kuala Lumpur serta daerah kewangan antarabangsa Malaysia. Projek tersebut dijangka siap pada 2023.