Kemenangan ke atas Thailand tonik terbaik menentang Indonesia, kata presiden FAM

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Hamidin Mohd Amin. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kemenangan 2-1 ke atas Thailand dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 malam tadi menjadi tonik terbaik buat pasukan Malaysia menjelang aksi menentang Indonesia pada Selasa ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin berharap pemain negara sekali lagi menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila berdepan Garuda di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti.

“Perlawanan malam tadi sangat penting, kita wajib menang dan Harimau Malaya berjaya mencapai misi itu demi negara. Jika sebelum ini saya akui kecewa dengan kekalahan dengan Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), tetapi kali ini saya amat berpuas hati.

“Sekali lagi, gunakan peluang beraksi di laman sendiri menentang Indonesia nanti, buktikan sekali lagi anda pemain-pemain negara yang bagus,” katanya dalam kenyataan.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang ketinggalan selepas jaringan Chanathip Songkrasin pada minit ketujuh, mempamerkan semangat juang yang tinggi untuk bangkit semula menerusi gol Brendan Gan pada minit ke-26 dan Mohamadou Sumareh pada minit ke-56.

Hamidin turut mengucapkan tahniah kepada pengurus pasukan Yusoff Mahadi; penolong pengurus pasukan, Posa Majais; jurulatih kebangsaan Cheng Hoe bersama barisan kejurulatihannya; kapten pasukan Aidil Zafuan Abdul Radzak dan semua pemain negara.

Pada masa sama, Hamidin meminta penyokong Harimau Malaya menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil gegak gempita bagi memberi suntikan semangat buat pemain negara menentang pasukan dari seberang itu.

“Juga jutaan terima kasih kepada penyokong yang hadir memberi semangat kepada pasukan negara,” katanya.

Untuk rekod, kejayaan malam tadi merupakan kemenangan kedua Malaysia dalam kempen itu, apabila memulakan kempen dengan kemenangan 3-2 ke atas Indonesia, sebelum tewas tipis 1-2 kepada UAE dan 0-1 kepada Vietnam.

Vietnam berada di tangga teratas Kumpulan G dengan 10 mata daripada empat perlawanan setakat ini, diikuti Thailand (7), UAE (6), Malaysia (6) dan Indonesia yang gagal meraih sebarang mata.