Marah atau tidak biar pengundi tentukan, Hishammuddin beritahu Dr M

Hishammuddin Hussein (tengah) bersama Wee Jeck Seng (kiri) ketika ‘walkabout’ di stesen Bas Kukup.

KUKUP: Bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein berkata soal marah atau tidak biarlah ia ditentukan pengundi, susulan Dr Mahathir Mohamad berpesan kepada penduduk Tanjung Piai tidak mengundi kerana marah.

Beliau berkata dulu Pakatan Harapan (PH) juga menimbulkan kemarahan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Apa beza dengan mereka dahulu. Masa itu sengaja diuar-uarkan. Saya tak nafikan mungkin kerajaan BN ada kelemahan dan kesilapan kita.

“Tetapi bila dikipas, kemarahan, kebencian dan emosi menentukan suasana. Marah tak marah tuhan saja tahu,” katanya ketika ditemui dalam program tinjauan mesra bersama calon BN, Wee Jeck Seng di Terminal Bas Kukup.

Rabu lalu, Mahathir yang juga pengerusi PH berpesan kepada pengundi Tanjung Piai memikirkan manfaat memilih calon parti itu untuk terus berkhidmat kepada mereka.

Mahathir juga menyentuh tentang “kemarahan” pengundi Tanjung Piai terhadap kerajaan PH pimpinan beliau.

“Tidak tahu sebab apa marah, kalau marah saya, marahlah sekarang, kita hendak undi untuk kebaikan diri,” katanya yang juga pengerusi PPBM.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata pengundi Tanjung Piai sudah pasti mempunyai pilihan masing-masing.

Beliau juga berharap pengundi “putih” keluar mengundi esok, merujuk pengundi yang tidak tinggal di Tanjung Piai tetapi mengundi di Parlimen itu.

“Sebab itu kita turun ingatkan jentera kita dah habis tungkus lumus siang malam, rumah ke rumah, DUN ke DUN, PDM ke PDM dan cawangan ke cawangan. Tetapi semua itu tidak bermakna sekiranya kita tak mampu bawa pengundi-pengundi keluar mengundi esok.

“Sebab itu tumpuan hari ini ialah untuk memastikan perjalanan kita esok berjalan lancar,” katanya.