Najib ajak pengundi hantar ‘isyarat jelas’ kepada PH esok

Najib Razak pada ceramah di Penerok malam tadi berkata beliau tahu rakyat makin susah.

PONTIAN: Bekas perdana menteri Najib Razak mengajak pengundi Parlimen Tanjung Piai menghantar satu “isyarat jelas” kepada Pakatan Harapan dengan memenangkan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil esok.

Beliau berkata kemenangan calonnya, Wee Jeck Seng esok sebenarnya amat besar maknanya.

“Tak ada apa pun yang dibuat yang lebih elok dari kita (BN). Sebelum pilihan raya kata ‘PH menang, rakyat senang’ tetapi saya tahu makin susah, sebab sudah kena bohong,” katanya pada ceramah di Penerok malam tadi.

Najib menyeru pengundi memberikan isyarat yang jelas kepada PH dengan memastikan gabungan pemerintah itu “tersungkur” pada PRK ini, bersama janji-janji mereka.

“Cukuplah, beritahu mereka kita nakkan bumi Tanjung Piai ini…biar mereka tertiarap di bumi ini,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PPBM pada 21 Sept lalu.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pekan Nanas dan Kukup dengan jumlah keseluruhan pengundi yang layak memilih ialah 52,986 orang, termasuk 280 pengundi awal dan lapan pengundi luar negara.