Pakar ekonomi cadang peraturan berkait harga petrol dilonggar

Penganalisis berkata, harga petroleum lebih kompetitif akan menguntungkan pengguna yang lebih peka harga.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi mencadangkan supaya peraturan berkaitan harga petrol dilonggarkan dengan berkata, ia merupakan langkah terbaik bagi menyokong langkah Putrajaya untuk menggalakkan persaingan dalam industri tersebut.

Felo kanan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi Carmelo Ferlito berkata, amalan semasa kerajaan menetapkan harga siling akan terus menghalang persaingan kerana tidak ada syarikat yang mahu berkompromi mengenai margin keuntungan mereka.

“Syarikat akan menerima dan mematuhi ketetapan kerajaan untuk menjual produk mereka pada harga siling, seperti sebuah kartel,” katanya kepada FMT.

Katanya, lebih tinggi tahap liberalisasi yang wujud, maka lebih tinggi pula darjah persaingan yang akan berlaku.

Ferlito memberi respons terhadap kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail pada Selasa, yang berkata, kerajaan bersedia memberikan “keistimewaan tertentu” kepada syarikat petroleum yang mengambil langkah menurunkan harga produk mereka.

Saifuddin berkata, tujuannya ialah untuk menggalakkan persaingan.

Yeah Kim Leng, pensyarah ekonomi di Universiti Sunway mengalu-alukan cadangan tersebut, tetapi memberitahu FMT bahawa ia akan mengakibatkn berlakunya persaingan sengit, terutama dalam kalangan operator stesen petrol.

Katanya, idea berkenaan boleh dicuba di lokasi tertentu sebagai projek perintis bagi membolehkan Putrajaya dan syarikat petroleum menaksir keberkesanannya, walaupun beliau menjangka pengedar akan membantah keras langkah itu.

“Pemilik stesen berkemungkinan akan membantah kerana margin keuntungan mereka kini lebih rendah.”

Beliau berkata, pengedar yang mahu menambah isi padu jualan mereka boleh menerima cadangan Saifuddin, selain menambah bahawa stesen dengan jualan lebih rendah boleh meraih manfaat daripada idea itu dengan menarik pelanggan yang mahu berjimat.

Yeah berkata, persaingan yang sihat akan menjamin pasaran yang cekap.

“Pasaran tempatan yang responsif dengan harganya ditentukan oleh pemain yang bersaing antara satu sama lain akan menguntungkan pengguna yang lebih peka harga,” katanya.