Peguam bidas polis ambil keterangan adik kepada lelaki berkait LTTE

Gooi Hsiao Leung bercakap kepada ibu bapa Pumugan Mahalingam di pusat khidmatnya di Bukit Tengah, George Town. Di kirinya ialah Punaghi, adik Pumugan.

BUKIT MERTAJAM: Seorang pemimpin PKR Pulau Pinang mengkritik polis kerana memanggil adik perempuan salah seorang daripada 12 lelaki yang dituduh mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Tamil Tigers.

Adun Bukit Tengah Gooi Hsiao Leung berkata tindakan polis menyoal Punaghi Mahalingam, adik perempuan Pumugan Mahalingam yang ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma sama seperti gangguan kerana dia sudah didakwa di mahkamah.

“Sebarang siasatan mesti diselesaikan sebelum dia dituduh. Merakam keterangan kakak/adik perempuannya pada ketika ini hanya menambah tekanan perasaan dan penderitaan pada keluarga Pumugan,” kata Gooi, yang bertemu ahli keluarga Pumugan di pusat khidmatnya, kepada pemberita hari ini.

“Ini gangguan yang tidak perlu dan usaha memancing sesuatu,” katanya.

Gooi, seorang peguam yang mewakili Pumugan, berkata pendakwa raya patut pertimbang semula tuduhan terhadapnya.

Beliau berkata tuduhan bawah Kanun Keseksaan biasanya dikhaskan untuk kesalahan pengganas yang serius yang membawa hukuman hayat.

Beliau berkata kesalahan Pumugan hanya kerana memiliki kemeja T tertera gambar bekas pemimpin Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), dan berkongsi gambar dan video berkaitan kumpulan itu di Facebook.

“Kalau ini semua keterangan yang pendakwa raya ada terhadap Pumugan, saya percaya Jabatan Peguam Negara sudah melakukan kesilapan besar apabila menuduhnya dengan kesalahan paling serius yang memperuntukkan penjara seumur hidup.

“Ini benar-benar tidak wajar, tidak kira bagaimana anda melihatnya. Peguam negara harus menggugurkan kes ini dan menawarkan ikat jamin kepadanya sehingga Pumugan didapati bersalah,” tambahnya.

Gooi berkata perbicaraan Pumugan mungkin mengambil masa setahun atau dua tahun, merampas kebebasannya kerana dia tidak dibenarkan ikat jamin.

“Dia tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Dia harus dibebaskan dengan ikat jamin dan disatukan dengan keluarganya. Apa yang berlaku bertentangan dengan semangat Malaysia Baru,” kata Gooi.