Penganalisis senada, BN ada kelebihan tawan Tanjung Piai

Penganalisis berpendapat selain faktor peribadi calon BN Wee Jeck Seng yang lebih dikenali, peralihan undi orang Cina juga berperanan besar dalam menentukan keputusan PRK Parlimen Tanjung Piai esok.

KUALA LUMPUR: Berbaki kurang 24 jam menjelang hari membuang undi bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai esok, rata-rata penganalisis politik senada bahawa Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan merampas kembali kerusi itu daripada Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia Kamarul Zaman Yusoff berkata, sepanjang kempen berjalan faktor peralihan sokongan pengundi bukan Melayu kepada BN dilihat cukup ketara, termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nenas yang dimenangi calon DAP pada pilihan raya umum lepas.

“Calon BN juga dilihat lebih popular, termasuk dalam kalangan pengundi Melayu,” katanya kepada FMT.

Kamarul tidak menolak kemungkinan kekalahan calon PH yang diwakilli PPBM di Tanjung Piai akan mewujudkan tekanan daripada parti komponen PH, khususnya DAP dan PKR, supaya penekanan dan tumpuan diberikan kepada pengundi bukan Melayu.

Kamarul Zaman Yusoff.

“Jika calon PPBM tewas, mungkin akan wujud tekanan yang lebih kuat dari dalam PH, khususnya daripada DAP dan PKR, supaya ia lebih mengutamakan pengundi bukan Melayu dalam dasar-dasarnya. Ini mungkin akan menjadikan PH lebih tidak stabil,” katanya.

Selain itu kata beliau, kemenangan BN juga akan melonjakkan semangat pendukung Muafakat Nasional yang diterajui oleh Umno dan PAS dalam melebarkan asas pengaruhnya dalam kalangan orang bukan Melayu.

“Bagaimanapun mereka tidak boleh terlalu gembira kerana PRK biasanya adalah masa pengundi menunjukkan protes, apatah lagi bila faktor peribadi calon BN juga kuat,” katanya.

Azmi Hassan.

Nada sama disuarakan Azmi Hassan dari Universiti Teknologi yang berkata, sokongan pengundi Melayu kepada BN kelihatan tidak berubah, walaupun setelah tampuk pemerintahan kini dikuasai oleh PH.

“Amat sukar untuk menyatakan sama ada ia (PRK) akan memihak kepada PH kerana cita rasa pengundi Melayu tidak banyak berubah semenjak pilihan raya umum ke-14 (PRU14), selain wujudnya petanda menunjukkan pengundi bukan Melayu agak berbelah bahagi untuk menyokong PH kali ini.

“Pengamatan ini hanya bersandarkan sambutan ceramah, terutama sekali yang diadakan di Pekan Nanas. Walaupun DUN ini mempunyai majoriti pengundi Cina, tetapi sambutan terhadap kempen PH agak berbeza jika dibandingan semasa PRU14.

“Walaupun kempen pembangkang, sambutannya agak menggalakan. Bagaimanapun pemerhatian melalui sambutan ceramah agak berbahaya kerana lazimnya ceramah pembangkang didapati lebih menarik,” katanya, selain menambah bahawa keputusan PRK Tanjung Piai juga boleh dilihat sebagai referendum rakyat kepada pentadbiran PH.

Sivamurugan Pandian.

Semantara itu, Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, isu dalaman yang berlaku dalam PH memberi kesan kepada keputusan rakyat untuk menyokong calon BN berbanding calon parti kerajaan.

“Sokongan kepada Najib Razak yang turun padang juga antara faktor kelebihan BN,” katanya, selain menambah bahawa kes mahkamah yang dihadapi bekas perdana menteri itu kelihatan tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada BN.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi pula, keputusan kali ini lebih tertumu kepada undi protes terhadap PH, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu susulan kegagalannya menunaikan banyak janji yang dibuat sebelum ini.

Selain itu kata beliau, sokongan orang Melayu juga mula kelihatan kembali kepada BN.

“Bagi orang Cina, kekalahan PH di Tanjung Piai tidak menjadi masalah kerana ia tetap merupakan kerajaan di negeri Johor dan di Putrajaya.

“Pada PRU14 lepas perubahan pengundi nyata melibatkan orang Melayu. Namun kali ini nampak pengundi Melayu mula kembali ke BN,” katanya.

Katanya, walaupun sekiranya berlaku peningkatan sokongan kepada BN dalam kalangan orang Cina di Tanjung Piai, ia tidaklah bermakna komuniti itu kembali menyokong gabungan pembangkang.

“Ia lebih kepada undi protes memandangkan banyak janji PH yang belum ditunaikan. Jika semua janji ditunaikan kelak, PH boleh kekal memerintah Putrajaya,” katanya.

Selain ramalan penganalisis politik, kajian beberapa badan penyelidik juga menunjukkan BN mempunyai kelebihan di Tanjung Piai.

Kempen PRK ini bermula pada 2 Nov lepas, manakala hari pengundian ditetapkan esok. Kerusi Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52,986 pengundi yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan pengundi tidak hadir luar negara.

Dalam pilihan raya umum Mei tahun lepas, PH yang diwakili calon PPBM Dr Md Farid Md Rafik memenangi kerusi ini dengan kelebihan 524 undi mengatasi calon BN Wee Jeck Seng, yang sekali lagi mewakili BN dalam PRK kali ini.

Wee yang pernah mewakili Parlimen ini selama dua penggal sebelum ini berdepan cabaran calon PH-PPBM Karmaine Sardini, calon Gerakan Wendy Subramaniam, Badrulhisham Abdul Aziz dari Berjasa, dan dua calon Bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.