PKR Sarawak kecewa Azmin dibatal jadi perasmi kongres

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dibatalkan jemputan sebagai perasmi Kongres Nasional Pemuda PKR.

PETALING JAYA: PKR Sarawak hari ini melahirkan rasa kecewa susulan pembatalan Timbalan Presiden Azmin Ali sebagai perasmi Kongres Nasional Pemuda PKR bulan depan.

Ia berpendirian kesan daripada keputusan yang terburu-buru dalam membatalkan jemputan tersebut menyebabkan demokrasi dalam PKR dikuburkan secara terang-terangan.

“Adalah menjadi tradisi turun temurun dan konvensyen setiap parti politik di seluruh dunia bahawa timbalan presiden akan merasmikan kongres sayap parti politik dan PKR telah mengikuti tradisi ini sejak parti ditubuhkan.

“MPN Sarawak amat kecewa dengan pengkhianatan tradisi ini, walaupun diketahui majoriti dua per tiga pimpinan Pemuda PKR Pusat yang dipilih secara demokratik dalam pemilihan yang lalu menyatakan sokongan kepada timbalan presiden untuk merasmikan kongres nasional,” menurut kenyataan bersama pimpinan PKR Sarawak.

Kenyataan itu ditandatangani Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian; timbalannya, Baharuddin Mokhsen; Naib Pengerusi I PKR Sarawak, Willie Mongin; Naib Pengerusi II PKR Sarawak, Nicholas Bawin Anggat; Naib Pengerusi III, Voon Shiak Ni; Ketua Wanita Negeri Nurhanim Mokhsen; Jawatankuasa Pilihanraya PKR Sarawak, See Chee How dan Naib Pengerusi PKR Pusat, Ali Biju.

Krisis dalaman pemuda PKR tercetus apabila Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir mengumumkan pembatalan jemputan ke atas Azmin walaupun majoriti pimpinan sayap Pemuda yang memenangani pemilihan bersetuju timbalan presidennya sebagai perasmi.

Kenyataan itu semakin panas apabila Azmin ketika mengulas soal tindakan Pemuda PKR membatalkan jemputan sebagai perasmi menyifatkan wujud tangan ghaib yang mendorong Akmal bertindak demikian.

Akmal kemudian menafikan tuduhan Azmin dengan mendakwa sikap Azmin tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik selama setahun serta sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan parti sebagai “tangan ghaib” yang merosakkan PKR.

Mengulas lanjut, PKR Sarawak mendesak campur tangan pucuk pimpinan pusat bagi menyelesaikan kemelut pertelagahan dalaman sayap pemuda parti.

“MPN Sarawak juga memutuskan, selagi isu ini belum diselesaikan secara adil dengan mengambil kira lunas-lunas demokrasi, maka Konvensyen PKR Negeri Sarawak yang dijadualkan pada 23 November 2019 di Miri, Sarawak adalah dibatalkan.

“Sekiranya krisis ini tidak ditangani dengan segera oleh pimpinan tertinggi, ianya akan mengakibatkan krisis dan perpecahan di dalam PKR.”