RAM Ratings unjur permintaan domestik pacu pertumbuhan lebih rendah 4.5% tahun depan

Agensi penarafan RAM Ratings berkata, memandangkan Belanjawan 2020 menyokong pertumbuhan sederhana, BNM mungkin mengurangkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus tahun depan.

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjurkan merosot kepada 4.5 peratus pada 2020 daripada 4.6 peratus yang dijangkakan tahun ini, kata RAM Ratings.

Ia berkata, daya tahan ekonomi negara bergantung besar kepada pemacu domestik pada 2020 berikutan landskap pemintaan yang terus mencabar.

Momentum pertumbuhan global semasa memberi petunjuk mengenai sedikit pemulihan pada bila-bila masa, namun unjuran kitaran luaran kekal lemah, dengan ekonomi dunia masih berhadapan risiko peningkatan perlindungan perdagangan, selain arah tuju dasar ekonomi yang tidak menentu.

Agensi penarafan itu berkata, lebih banyak penekanan ke atas peluasan yang didorong permintaan domestik, dari segi monetari dan fiskal, akan memain peranan penting sebagai penampan ke atas sebarang risiko penurunan, ekoran unjuran pertumbuhan luaran yang lemah.

Memandangkan Belanjawan 2020 yang menyokong pertumbuhan sederhana, RAM Ratings berkata, terdapat kemungkinan Bank Negara Malaysia mengurangkan kadar dasar semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus tahun depan.

“Jangkaan ini adalah berdasarkan potensi risiko penurunan luaran yang akan menjejaskan pemacu pertumbuhan dalam penggunaan dan pelaburan domestik, tonggak kepada pertumbuhan mampan pada 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, daya tahan sektor berorientasikan domestik dijangka menyumbang positif kepada pertumbuhan penggunaan swasta sebanyak 6.8 peratus tahun depan, berbanding unjuran 7.3 peratus bagi 2019.

Pelaburan swasta dijangka berkembang 3.6 peratus tahun depan berbanding unjuran 1.2 peratus bagi 2019.

“Daripada analisis ke atas data Keyakinan Perniagaan RAM (RAM BCI), firma berorientasi domestik mencatat bacaan yang sangat stabil dalam beberapa suku terakhir.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sektor pembinaan dan perkhidmatan domestik mempamerkan nisbah pampasan pekerja kepada pengeluaran nilai tambah, serta perbezaan yang lebih rendah dalam pertumbuhan upah berbanding sektor pembuatan,” kata RAM Ratings.