Ringgit dibuka menokok berbanding dolar AS

Menurut penganalisis pasaran, peniaga kini menumpukan kepada angka KDNK Malaysia untuk petunjuk mengenai dasar monetari.

KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat semula semasa dibuka hari ini berikutan pembetulan teknikal menjelang pengumuman mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga negara.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1470/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1560/1590 pada Khamis.

Pakar strategi pasaran Axi Trader Asia Pasifik Stephen Innes berkata, peniaga kini menumpukan kepada angka KDNK Malaysia untuk petunjuk mengenai dasar monetari.

“Bagaimanapun dengan pasaran memberi tumpuan kepada rundingan perdagangan, angka KDNK mungkin perlu memberi jangkaan untuk mendapat peningkatan yang ketara daripada ringgit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0468/0501 daripada 3.0492/0532 semalam dan meningkat berbanding yen kepada 3.8186/8217 daripada 3.8269/8300.

Bagaimanapun ia susut berbanding pound British kepada 5.3430/3473 daripada 5.3396/3451 dan merosot berbanding euro kepada 4.5725/5762 daripada 4.5716/5757.