Skandal 1MDB: Permohonan Najib, keluarga periksa barang disita didengar 31 Jan 2020

Najib Razak dan keluarga memfailkan permohonan untuk membuat pemeriksaan fizikal terhadap barangan yang disita SPRM berkaitan 1MDB. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 31 Jan tahun depan bagi mendengar permohonan bekas perdana menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor serta anak perempuan mereka untuk membuat pemeriksaan fizikal terhadap barangan yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes berkenaan yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof dan peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mewakili Najib, manakala Azamuddin Abd Aziz dan Hasmadi Hussin bertindak bagi pihak Rosmah serta Nooryana Najwa.

Mahkamah memerintahkan pemohon (Najib, Rosmah dan Nooryana) memfailkan afidavit tambahan sebelum atau pada 28 Nov, manakala hujahan difailkan pada 12 Dis ini.

Pada 14 Okt lepas, pihak pendakwaan bersetuju untuk memberikan salinan gambar 315 beg tangan pelbagai jenama yang disita oleh SPRM kepada Najib dan keluarganya.

Pada 18 Jul, Najib, 66, memfailkan notis usul bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita SPRM, termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama dan wang tunai pelbagai mata wang asing milik Najib serta keluarganya.

Dalam notis usul itu, Najib memohon supaya responden (pendakwaan) membekalkan atau menzahirkan gambar berwarna, berserta deskripsi lengkap seperti label, lambang, kad hadiah, bungkusan dan kotak yang dijumpai bersama dengan harta alih yang disita pada 17 Mei tahun lepas.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas, telah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.

Rosmah, 68, dan Nooryana, 31, pula memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta alih yang disita itu.

Menurut kedua-dua notis usul itu, antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam dan 27 pasang kasut pelbagai jenama, serta wang tunai pelbagai mata wang asing, antaranya membabitkan wang tunai RM537,000, pound Sterling 2,700, rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama ringgit Malaysia RM187,750 dan pound Sterling 320,500.

Pada 30 Mei lepas, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan, ke atas ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 kereta yang dirampas daripada pasangan suami isteri itu, bersama tiga anak mereka dan 13 individu lain serta beberapa syarikat.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Akta 56 dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Notis berkenaan adalah bagi membolehkan pihak berkepentingan terbabit untuk tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan kemudian, bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan.