Survei: Gaji Malaysia naik 5.1% tahun ini, dijangka lebih baik pada 2020

Syarikat Malaysia dinasihati supaya menilai semula pakej upah mereka untuk terus menarik dan mengekalkan pekerja dengan kemahiran kritikal.

PETALING JAYA: Survei terbaru oleh sebuah firma perkhidmatan profesional berpangkalan di AS mendapati gaji di Malaysia meningkat 5.1 peratus tahun ini dan dijangka melonjak kepada 5.3 peratus pada 2020.

Aon berkata, dapatan daripada Survei Peningkatan Gaji dan Jumlah Upah Malaysia 2019 yang membabitkan 320 syarikat menunjukkan upah di negara ini meningkat lebih cepat berbanding Singapura (3.8 peratus) dan Thailand (4.9 peratus).

“Bagaimanapun (ia) lebih perlahan berbanding di Indonesia (7.4 peratus). Dengan angka inflasi tahunan pada 2.4 peratus, pekerja Malaysia mengalami pertumbuhan purata gaji benar sebanyak 2.7 peratus pada 2019, lebih tinggi daripada 2.1 peratus tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia juga menasihati syarikat perniagaan supaya menilai semula pakej upah mereka untuk terus menarik dan mengekalkan pekerja paling kritikal.

Menurut survei tersebut, gaji median bagi sektor kejuruteraan dan teknologi adalah relatif lebih tinggi berbanding sektor lain.

Pekerjaan dalam sektor kejuruteraan memperoleh gaji 14 peratus lebih tinggi, sementara pekerja dalam bidang sekuriti siber dan teknologi maklumat mendapat 12 peratus.

“Graduan baru bagi jawatan kejuruteraan dan teknologi tinggi mendapat gaji permulaan median 16 peratus lebih tinggi berbanding graduan dalam bidang lain.

“Dengan kemajuan dalam bidang digital dan teknologi, majikan membayar gaji premium kepada pekerja dalam bidang ini,” katanya.

Gaji median bagi jurutera perisian dan pembangun aplikasi juga mningkat 17 peratus berbanding tahun lepas pada semua peringkat perjawatan.

Pekerjaan lain yang turut menyaksikan gaji lebih tinggi ialah pengurus kanan undang-undang (20 peratus lebih tinggi daripada purata pasaran) serta pengurus kanan pembangunan perniagaan dan perancang strategik (22 peratus).

Aon berkata, ini menunjukkan kepentingan profesional dengan kemahiran spesifik kepada majikan.

Pengarah Aon Malaysia dan ketua solusi ganjaran Rahul Chawla berkata, syarikat didorong supaya memperbaharui program ganjaran mereka oleh keperluan untuk mencapai kecekapan.

“Sepanjang 12 bulan lepas, organisasi telah melaksanakan pelan insentif yang bertujuan memacu transformasi dan meraih nilai untuk pemegang saham.

“Penciptaan nilai untuk pemegang taruh dan perkongsian nilai dalam kalangan penyumbang utama akan menjadi kata kunci pada tahun-tahun akan datang,” katanya.