Timbalan presiden rasmi kongres sejak 20 tahun lalu, kata Wanita PKR

Ketua Wanita PKR Haniza Talha.

SHAH ALAM: Wanita PKR menegaskan pihaknya akan tetap memanggil timbalan presiden Azmin Ali sebagai perasmi kongres tahunan mereka yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Ketua Wanita PKR Haniza Talha berkata ia menjadi tradisi sejak 20 tahun lalu di mana timbalan presiden parti akan menjadi perasmi dalam penganjuran kongres sayap Pemuda dan Wanita.

“Sudah tentulah yang menjadi perasmi kongres wanita adalah timbalan presiden parti.

“Tak kira lah siapa timbalan presiden, dia lah yang dijemput,” katanya dalam sidang media selepas hadir merasmikan Ekspo Pemilikan Rumah (Home Ownership Campaign), hari ini.

Sebelum ini, timbul kekecohan dalaman parti itu apabila sayap pemuda bertindak tidak menjemput Azmin sebagai perasmi kongres, sebaliknya memutuskan Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi atas kapasiti timbalan perdana menteri.

Menurut Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir, keputusan itu sudah dibincangkan dalam beberapa mesyuarat jawatankuasa kongres dan diputuskan pada 20 Okt lepas.

Kelmarin, ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Akmal berkata undangan perasmi bukan tertakluk pada kepentingan individu.

Haniza bagaimanapun menyifatkan Akmal sebagai tersilap.

Katanya, meskipun ketetapan untuk menjemput timbalan presiden parti sebagai perasmi tidak termaktub dalam perlembagaan parti, tetapi ia dibuat setiap kali penganjuran kongres sayap berkenaan.

“Ini kali pertama sayap melanggar konvesyen. Jadi, saya (wakil sayap) Wanita akan meneruskan tradisi dan kita rasakan ia dapat menyatukan semua pihak.

“Kalau ada paksi (masalah) ke, inilah masanya untuk ‘unite’ (bersatu) dan bergerak ke hadapan,” katanya.

Krisis dalaman pemuda PKR tercetus apabila Akmal mengumumkan pembatalan jemputan ke atas Azmin walaupun majoriti pimpinan sayap pemuda yang memenangani pemilihan bersetuju timbalan presidennya sebagai perasmi.

Kenyataan itu semakin panas apabila Azmin ketika mengulas soal tindakan Pemuda PKR membatalkan jemputan sebagai perasmi menyifatkan wujud tangan ghaib yang mendorong Akmal bertindak demikian.

Akmal kemudian menafikan tuduhan Azmin dengan mendakwa sikap Azmin tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik selama setahun serta sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan parti sebagai “tangan ghaib” yang merosakkan PKR.