Tolong jaga anak dengan baik

Ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab hakiki mereka untuk menjaga dan melindungi anak-anak mereka sepanjang masa. Ibu bapa tidak boleh lepas tangan atau mengharapkan orang lain untuk melakukan tugas berkenaan kerana ia melibatkan anak-anak mereka sendiri.

Semenjak akhir-akhir ini sering kedengaran mengenai isu kanak-kanak yang tidak dipantau serta berkeliaran tanpa hala tuju dalam negara kita seperti isu kanak-kanak yang terlibat dengan basikal lajak, isu kanak-kanak yang membawa kenderaan tanpa sebarang lesen, isu kanak-kanak yang lepak di tempat, dan lain-lain.

Ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak mereka tidak melakukan sebarang perkara yang bukan sahaja boleh membawa kesan buruk terhadap diri anak-anak mereka sendiri, malah turut memberi tempias kesan buruk kepada pihak ibu bapa anak-anak itu sendiri serta orang sekeliling yang tidak bersalah.

Sudah menjadi tugas serta tanggungjawab pihak ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka tidak melakukan sebarang perkara yang sia-sia serta yang boleh membawa risiko bahaya terhadap diri anak mereka serta kepada orang lain.

Ibu bapa tidak boleh lepas tangan dalam soal penjagaan anak mereka. Tanggungjawab ibu bapa bukan terhenti setakat melahirkan anak mereka sahaja.

Ibu bapa perlu menjaga serta melindungi anak mereka sehingga mereka mampu berdikari atau sekurang-kurangnya sampai di satu tahap yang boleh membezakan antara baik dan buruk. Ibu bapa harus melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa banyak alasan. Tanggungjawab bagi menjaga dan melindungi anak bukan sahaja satu bentuk tanggungjawab moral, malah ia turut telah termaktub dalam peruntukan undang-undang antarabangsa serta di dalam negara kita.

Perlu diketahui, masyarakat antarabangsa telah sepakat untuk mewujudkan satu bentuk konvensyen khusus bagi menjaga dan melindungi kanak-kanak di seluruh dunia, diberi nama Konvensyen Mengenai Hak Kana-kanak 1989. Konvensyen antarabangsa terbabit telah diterima dengan rasminya oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu pada 20 Nov 1989 dan ia diterima secara konsensus. Konvensyen antarabangsa berkenaan telah dikuatkuasakan pada 2 Sept 1990 selepas 30 hari ia diiktiraf oleh 20 negara.

Kerajaan Malaysia telah menandatangani konvensyen antarabangsa berkenaan pada 28 Dis 1994 dan telah guna pakainya pada 7 Feb 1995.
Konvensyen antarabangsa berkenaan menghuraikan segala bentuk keperluan golongan kanak-kanak yang berasingan dari keperluan orang dewasa dengan mengambil kira keperluan seperti kerjasama antarabangsa dalam usaha memberi perlindungan kepada golongan kanak-kanak serta peranan dan tanggungjawab keluarga dan negara dalam memberi perlindungan dan menjaga kepentingan golongan kanak-kanak.

Di Malaysia pula, kita sudah pun memiliki sebuah akta khusus bagi menjaga serta melindungi golongan kanak-kanak iaitu Akta Kanak-kanak 2001. Akta ini berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2002. Akta Kanak-kanak 2001 telah memansuhkan tiga undang-undang lain yang lain yang sudah lapuk serta tidak sesuai untuk digunakan lagi dalam negara kita iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1971.

Akta Kanak-kanak 2001 memberi fokus kepada aspek pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan golongan kanak-kanak dalam negara kita. Ia telah mendefinisikan golongan kanak-kanak melalui Seksyen 2 sebagai: a) seseorang yang di bawah umur 18 tahun; dan b) berhubung dengan prosiding jenayah, seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam Seksyen 82 Kanun Keseksaan.

Seksyen 31 pula dengan jelas memperuntukkan bahawa mana-mana orang, yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak (a) yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian; atau (b) yang menganiayai dari segi seks kanak-kanak itu atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai sedemikian, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi 50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh yang demikian, semua pihak khususnya pihak ibu bapa perlu mengambil serius terhadap perkara ini serta mengambil langkah yang sewajarnya untuk menjaga serta melindungi anak-anak mereka.

Sudah sampai masanya juga aspek peruntukkan undang-undang ini didedahkan secara terperinci kepada semua pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan mereka supaya mereka semua dapat ketahui tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap diri mereka sekiranya mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka kelak terhadap anak-anak mereka.

Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT