102,618 pendatang tanpa izin sertai program pulang ke negara asal

Program B4G bermula 1 Ogos dan berakhir 31 Dis ini di Semenanjung Malaysia bertujuan memberi peluang kepada warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 pulang ke negara asal secara sukarela. (Gambar Bernama)

PORT DICKSON: Seramai 102,618 pendatang asing tanpa izin menyertai program “Back For Good” (B4G) untuk permohonan pulang ke negara asal yang dilancarkan Jabatan Imigresen Malaysia sejak 1 Ogos sehingga Khamis lepas.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Alwi Ibrahim berkata, warga Indonesia merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 37,048 orang, diikuti Bangladesh (31,110), India (17,107), Pakistan (5,258) dan selebihnya dari negara lain.

“Kita harap semua pendatang asing tanpa izin ini segera menyertai program ini dan pulang ke negara asal.

“Walau bagaimanapun, kita menasihatkan mereka supaya tidak hanya tertumpu di pejabat imigresen Putrajaya dan Kuala Lumpur sahaja, sebaliknya boleh hadir di pejabat imigresen di negeri lain bagi mengelak kesesakan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perbarisan tamat latihan Kursus Asas Pegawai Imigresen Gred KP 19 Siri 3 Tahun 2019 di Akademi Imigresen Malaysia (AIMM) di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Program B4G yang bermula 1 Ogos lalu dan berakhir 31 Dis ini di Semenanjung Malaysia bertujuan memberi peluang kepada warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Ketua Setiausaha KDN Alwi Ibrahim.

Pendatang tanpa izin hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing dan menyerahkannya kepada pejabat imigresen untuk diproses.

Selain itu, mereka perlu menyediakan bayaran kompaun sebanyak RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan itu.

Dalam pada itu, beliau menggesa pendatang asing tanpa izin supaya mengambil peluang untuk menyertai program B4G untuk pulang ke negara asal atau bakal berdepan dengan tindakan tegas menerusi operasi penguatkuasaan.

“Mereka juga diseru supaya tidak menunggu saat akhir untuk menyertainya bagi mengelak kesesakan di pejabat-pejabat Imigresen,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya melaksanakan sebanyak 15,590 operasi penguatkuasaan berkaitan pendatang asing tanpa izin di seluruh negara tahun ini bagi tempoh 1 Jan sehingga Khamis lepas.

Katanya, daripada operasi yang dijalankan, seramai 181,473 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 46,115 pendatang asing tanpa izin serta 1,146 majikan ditahan.

“Pendatang asing tanpa izin yang ditahan melibatkan 15,663 orang warganegara Indonesia, Bangladesh (10,020), Myanmar (4,847), Filipina (3,485), India (2,631), Thailand (2, 605), Pakistan (1,808), Vietnam (1,630), China (977), Nepal (929) dan 1, 520 daripada negara lain.

“Manakala majikan yang ditahan pula melibatkan 1,089 orang majikan warga tempatan, Indonesia (sembilan), Thailand (12), Bangladesh (10), Pakistan (enam) dan lain-lain 20,” katanya.