7 pelajar direman kerana rogol boleh ambil ujian SPM dalam lokap

TAWAU: Semua tujuh calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah di sini yang direman hari ini bagi membantu siasatan kes rogol seorang pelajar perempuan di sekolah sama, masih boleh menduduki peperiksaan itu di dalam lokap.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Mistirine Radin berkata, pegawainya akan berhubung dengan balai polis di mana pelajar itu direman esok.

“Pelajar masih boleh menduduki peperiksaan SPM semasa tahanan reman. Kami pun baru dapat maklumat tentang penahanan mereka hari ini,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan kes itu.

“Kejadian ini amat menyedihkan kerana berlaku dalam kawasan sekolah,” katanya sambil mengingatkan pengawal keselamatan sekolah melakukan rondaan dalam kawasan sekolah seperti dalam kontrak perkhidmatan untuk mengelak kejadian sama berulang.

Katanya, pihak pengurusan sekolah juga boleh meningkatkan pencegahan dengan mengunci bilik yang berisiko disalahgunakan pelajar.

Media hari ini melaporkan tujuh pelajar lelaki berusia 17 tahun di sebuah sekolah di sini direman tiga hari mulai hari ini atas tuduhan merogol seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dari sekolah sama.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah bilik di sekolah berkenaan.