BN dahului PRK Tg Piai

Wee Jeck Seng pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal sejak PRU 2008.

PONTIAN: Barisan Nasional (BN) sedang mendahului Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dengan majoriti lebih 10,000 undi setakat ini, yang akan memberi laluan kepada calonnya, Wee Jeck Seng kembali menjadi ahli Parlimen di kerusi itu.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Wee setakat ini mendapat 16,957 undi berbanding calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini yang meraih 6,529 undi.

Empat calon lain, iaitu Wendy Subramaniam daripada Gerakan memperoleh 1,070 undi, manakala Badhrulhisham Abdul Aziz yang mewakili Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) mendapat 552 undi dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar memperoleh 207 dan 22 undi.

Ini adalah keputusan tidak rasmi bagi 87 daripada 128 peti undi yang dikira setakat ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi selepas semua 27 pusat mengundi ditutup 5.30 petang tadi ialah 74.5%.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu, Farid daripada PPBM memperoleh 21,255 undi, menewaskan Wee yang mendapat 20,731 undi dan calon PAS, Nordin Othman (2,962 undi).

Wee pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal sejak PRU 2008.

Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 57% pengundi Melayu, Cina 42% dan India 1%.

PRK Parlimen Tanjung Piai ialah PRK kesembilan selepas PRU14 tahun lalu dan jika BN menang, ia akan menjadi PRK keempat dimenanginya sehingga kini.