Kami tiada kuasa kawal selia kandungan digital, kata Finas

Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, Finas akan mencari jalan terbaik untuk memperkasakan kandungan tempatan untuk memberi impak positif kepada masyarakat dan negara. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tiada kuasa untuk menapis kandungan dalam perkhidmatan penstriman video, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri selepas beliau mencadangkan kawal selia kandungan yang disediakan platform digital.

Katanya, dalam konteks kandungan digital, Finas akan mencari jalan terbaik untuk memperkasakan kandungan tempatan untuk memberi impak positif kepada masyarakat dan negara.

“Saya mengambil maklum keluhan ibu bapa di zaman siber ini yang bertanyakan kemasukan cerita-cerita tidak ditapis,” tulisnya di Twitter hari ini.

“Apa yang saya cadangkan adalah kerjasama antara Finas dan NCWO (Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia) mewujudkan satu forum atau seminar untuk membahaskan isu ini dalam konteks memperkasakan kandungan digjtal pada masa akan datang.”

Terdahulu, Idham dilaporkan berkata, satu akta perlu diwujudkan untuk mengawal selia kandungan filem atau program yang disediakan platform digital, terutamanya video atas permintaan (VOD) atau penyedia penstriman video.

Katanya, tindakan itu perlu memandangkan kandungan digital seperti Netflix tidak ditapis, selain mempunyai rangkaian lebih meluas berbanding rangkaian televisyen tempatan.

“Kalau kita kawal kandungan di platform media tempatan saja, tetapi kandungan (dalam talian) program antarabangsa terbuka kepada sesiapapun, ia akan tetap merisikokan pembangunan minda anak-anak kita.

“Ia akan bertentangan dengan arah tuju Finas dalam menghasilkan kandungan yang mana kita perlu menerapkan nilai kekeluargaan, identiti, budaya dan nilai murni lain,” katanya selepas merasmikan Seminar Keluarga Sejahtera di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya merancang memperbanyakkan program dan kempen kesedaran serta mendidik pemain industri tentang kepentingan tanggungjawab bersama memaparkan kandungan yang boleh menjana minda masyarakat.

Katanya, Finas juga bercadang melakukan program libat urus dengan masyarakat agar mereka memahami kepentingan mengawal kandungan filem dan program yang disiarkan.