Imigresen: 575,292 warga Bangladesh pegang pas kerja sementara aktif

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 29,251 warga Bangladesh ditahan dan didakwa atas pelbagai kesalahan imigresen sejak Januari 2017 sehingga hari ini.

PUTRAJAYA: Seramai 575,292 pekerja asing warga Bangladesh merupakan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih aktif di negara ini sehingga 31 Oktober tahun ini, kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Selain itu, terdapat 4,908 warga Bangladesh yang memegang pas bagi kategori di bawah ekspatriat, katanya dalam satu kenyataan semalam sebagai maklum balas terhadap laporan mengenai warga Bangladesh yang tidak pulang kerana hutang.

Menurut laporan yang memetik kenyataan Pertubuhan Keselamatan Dalam Negeri Warga Asing, hampir 300,000 warga Bangladesh didakwa tidak pulang ke negara asal disebabkan beban hutang yang ditanggung mereka untuk dijadikan modal datang ke Malaysia.

“Bagi warga asing yang tidak pulang ke negara asal selepas tamat tempoh pas yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia setelah pas atau permit tamat dan dibatalkan,” kata Khairul Dzaimee.

Menurutnya, seramai 29,251 warga Bangladesh ditahan dan didakwa atas pelbagai kesalahan imigresen sejak Januari 2017 sehingga hari ini.

“JIM (Jabatan Imigresen) sentiasa terbuka untuk menerima sebarang cadangan atau aduan dan memohon supaya pihak pertubuhan menyalurkan terus maklumat kepada jabatan ini untuk tindakan lanjut,” katanya.