Karmaine reda, PH Johor janji kaji punca rakyat tak puas hati

Muhyiddin Yassin (tengah) meninggalkan Bilik Gerakan Utama PH di Pontian malam ini bersama Menteri Besar Johor, Sahruddin Jamal (dua dari kanan).

PONTIAN: Pakatan Harapan (PH) Johor akan menilai semula dasar, pendekatan dan prestasi parti serta kerajaan yang menyebabkan rakyat tidak berpuas hati terhadap gabungan parti pemerintah itu, selepas ia kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Pengerusi PH Johor, Muhyiddin Yassin; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi Amanah negeri, Aminolhuda Hassan; Pengerusi DAP negeri, Liew Chin Tong dan Pengerusi PPBM negeri, Mazlan Bujang dalam satu kenyataan bersama berkata, ia akan mengambil serius isyarat pengundi kepada gabungan itu semasa PRK Tanjung Piai.

“Mengambil kira kekalahan ini, PH perlu kembali semula ke paparan lakaran untuk menilai dasar, pendekatan dan prestasi parti dan kerajaan yang telah menyumbang kepada rasa tidak puas hati rakyat.

“PH Johor ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PH yang telah bekerja keras dan menunjukkan komitmen tinggi dalam kempen PRK ini.”

Sementara itu, calon PH, Karmaine Sardini reda dengan kekalahan.

“Saya rasa orang Tanjung Piai sudah buat pilihan dan kita kena terimalah.

“Kita akan buat analisis berkaitan kekalahan ini,” katanya di Bilik Gerakan Utama PH di sini, malam ini.

Karmaine Sardini (tengah) bersalaman dengan wartawan di luar Bilik Gerakan Utama PH malam ini.

Karmaine kalah kepada calon Barisan Nasional, Wee Jeck Seng dengan perbezaan 15,086 undi.

Beliau sekadar mendapat 10,380 undi berbanding 25,466 undi yang diperoleh Wee.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam pula meraih 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Parti Barisan Jemaah Islamiah mendapat 850 undi, manakala dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi serta 32 undi.

Wee pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai dari 2008 hingga 2018, sebelum tewas kepada Dr Md Farid Md Rafik daripada PH dengan perbezaan 524 undi pada Pilihan Raya umum ke-14 tahun lalu.

Ini adalah kemenangan keempat BN daripada sembilan PRK yang diadakan sejak PRU14. BN sebelum ini menang di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.