Kehadiran Najib beri bayangan berita gembira buat BN di Tg Piai?

Bekas perdana menteri Najib Razak hadir memberi sokongan kepada calon BN di SMK Datuk Mohd Yunos Sulaiman pada hari mengundi PRK Tanjung Piai hari ini.

PEKAN NANAS: Kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak pada hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang sedang berjalan seolah-olah membayangkan berita gembira buat calon Barisan Nasional (BN) pada saat pengiraan undi malam ini.

Najib yang diiringi pengerusi BN, Johor Hasni Mohamad turut disertai penyokong parti itu ditemui di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Mohd Yunos Sulaiman di sini.

Mereka melaungkan slogan “Bossku”, “Tolak PH” dan juga bertakbir.

Najib meluangkan masa lebih kurang 30 minit bersama penyokong BN dalam jarak lebih 100 meter dari pusat mengundi tersebut.

Semalam Najib berucap pada satu ceramah di Penerok bersama-sama Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dalam kempen terakhir mereka bagi membantu kemenangan calon BN, Wee Jeck Seng.

Dalam pada itu, kepimpinan PH diterajui oleh Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin hadir bagi memberikan sokongan moral kepada calon mereka Karmaine Sardiri. Turut hadir Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

Menjelaskan dakwaan ketidakhadiran ramai pemimpin PH hari ini, Muhyiddin yang bercakap kepada media selepas meninjau proses pengundian di empat pusat mengundi di sini memberitahu ramai, pimpinan PH hadir di Tanjung Piai sejak hari pertama kempen.

Jelas beliau, pada hari ini selain Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, turut hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman; Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Hatta Ramli.

“Mereka tadi pun sama-sama bertugas. Saya bangga dengan pimpinan PH. Daripada semua parti, bukan satu parti saja. Mula waktu kempen sampai sekarang,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Pontian.

Malam tadi, veteran DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong turut hadir dalam satu ceramah di sini, susulan ceramah “mega” PH pada Rabu lalu, yang menampilkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai tarikan utama.

Survei yang dijalankan dalam kalangan pengundi oleh beberapa pihak sebelum ini mendapati kemungkinan besar berlakunya peralihan sokongan pengundi Cina kepada BN dalam PRK Tanjung Piai.

Tinjauan melibatkan beberapa ratus pengundi pelbagai kaum, jantina, usia dan lokasi mengundi itu menunjukkan kemenangan selesa buat calon BN.

Selain itu, tinjauan juga mendapati perkembangan itu merupakan tanda sokongan akar umbi yang kuat kepada Umno di negeri Johor, walaupun ia tewas pada pilihan raya umum Mei tahun lepas.

Ia turut merumuskan bahawa PH memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada pilihan raya umum sebelum ini berikutan kehadiran calon PAS yang memaksa pertandingan tiga penjuru antara tiga parti politik terbesar negara itu.

PAS kini bekerjasama dengan Umno dalam satu gabungan politik yang dinamakan Muafakat Nasional dalam usaha berperanan sebagai pakatan pembangkang untuk mencabar kerajaan PH.

Pemimpin PAS, termasuk Presidennya Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan juga turun berkempen menyokong calon BN.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Dr Md Farid Md Rafik (PH-PPBM) memperoleh 39.7% undi (21,255) manakala Wee (BN-MCA) 38.7% atau 20,731) dan Nordin Othman (PAS) 5.5% undi (2,962) undi.

Pengundi berketurunan Melayu mewakili 56.8% dripada jumlah pengundi manakala Cina 41.64% dan India 1.01%.

Selain calon PH dan BN, PRK Tanjung Piai turut menyaksikan penyertaan calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Berjasa Badrulhisham Abdul Aziz dan dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

SPR menjangka 70% pengundi keluar mengundi dan keputusan dijangka diketahui selewat-lewatnya jam 10 malam ini.