Kemenangan BN isyarat PH gagal penuhi keperluan rakyat, kata Zahid

Wee Jeck Seng (duduk, dari kiri) bersama Ahmad Zahid Hamidi, Najib Razak dan pemimpin BN lain mengadakan sidang media di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian, malam ini.

PONTIAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai adalah isyarat jelas rakyat yang keperluan mereka gagal dipenuhi Pakatan Harapan.

Beliau yang juga presiden Umno berkata, kemenangan ini adalah tanda muafakat antara parti komponen BN dan PAS.

“Tentunya ia menjadi tanda Muafakat Nasional dengan rakan-rakan BN, parti lain di Sabah dan Sarawak, komitmen akan beri kemenangan.

“Tahniah pada Wee Jeck Seng, ahli Parlimen Tanjung Piai, Presiden MCA, Wee Ka Siong dan pimpinan lain,” katanya pada sidang media di pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim malam ini.

“Saya bagi Muafakat Nasional dan BN ingin ucap terima kasih pada Pengerusi BN Johor, Hasni Mohammad yang juga pengarah pilihanraya jentera dan pimpinan tinggi BN, Umno.”

BN merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada PH dengan majoriti besar 15,086 undi.

Jeck Seng mendapat 25,466 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam sekadar meraih 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz yang mewakili Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) mendapat 850 undi dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi dan 32 undi.

Zahid berkata, majoriti undi yang diraih Jeck Seng menunjukkan sokongan rakyat sudah kembali kepada BN.

“Orang Cina terdiri daripada 42% pengundi Tanjung Piai dan keputusan ini menunjukkan pengundi Cina sudah kembali bersama BN. Ia juga isyarat bagi BN yang kami masih relevan.”

Sementara itu, Ka Siong mempersoalkan PH jika ia akan melaksanakan projek yang dijanjikan di Tanjung Piai selepas kekalahannya dalam PRK hari ini.

Katanya, tugas terbesar bagi Jeck Seng ialah memantau kerajaan melaksanakan projek yang dijanjikan.

“Beliau perlu mula kerjanya esok atau Isnin dan tugas pertamanya ialah memantau projek itu dan peruntukan yang dijanjikan kerajaan.

“Kerajaan tidak boleh kata mereka kalah dan berpura-pura tiada apa yang berlaku.”

Jeck Seng berkata, beliau tidak akan menang dan dapat kembali ke Dewan Rakyat tanpa sokongan pengundi.

“Saya ucap terima kasih atas sokongan mereka tanpa mengira latar belakang mereka,” katanya sambil menambah kemenangan itu turut menguatkan BN sebagai parti pembangkang.