Lagi syarikat rokok bidas Kementerian Kesihatan kerana tidak konsisten

Pengarah urusan JTI Malaysia Cormac O’Rourke berkata, kementerian Kesihatan harus memberi perhatian kepada isu rokok haram.

PETALING JAYA: JTI Malaysia berkata, ia berkongsi kebimbangan syarikat pesaingnya, British American Tobacco (BAT) mengenai tafsiran dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan produk tembakau.

Ini berikutan langkah BAT memfailkan satu semakan kehakiman terhadap Kementerian Kesihatan berhubung keputusannya untuk mengkategorikan semula curut mini, yang dikenali sebagai cigarillos, sebagai rokok dan penarikan balik kebenaran menjual cigarillos sebagai produk tembakau bukan rokok.

Berhubung semakan kehakiman yang difailkan oleh BAT, pengarah urusan JIT Malaysia Cormac O’Rourke berkata, akar masalahnya ialah tafsiran undang-undang yang tidak konsisten, terutamanya Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Di bawah undang-undang ini, rokok didefinisikan sebagai “apa-apa hasil yang mengandungi keseluruhannya atau sebahagiannya tembakau yang dipotong, dicarik atau dikilang atau apa-apa terbitan atau pengganti tembakau yang digulung di dalam pembalut kertas tunggal atau lebih, dan boleh digunakan dengan serta-merta untuk merokok”.

O’Rourke berkata, walaupun definisi itu sendiri adalah jelas, namun semakan kehakiman tersebut menimbulkan persoalan tentang bagaimanakah definisi tersebut terpakai ke atas produk tembakau di pasaran yang “memenuhi semua sifat definisi sebatang rokok”.

“Kementerian tidak boleh bersikap selektif ketika menafsirkan dan menguatkuasakan undang-undangnya sendiri. Apabila sesuatu produk menepati definisi rokok, maka ia mesti dikuatkuasakan sebegitu, secara konsisten dan telus.”

Beliau juga menggesa Kementerian Kesihatan supaya memberi perhatian kepada isu rokok haram yang mewakili 65 peratus daripada semua rokok yang dihisap di negara ini.

Baru-baru ini pengarah urusan BAT Erik Stoel dilaporkan berkata, mereka “keliru” bahawa cigarillos jenis lain yang berada di pasaran tidak termasuk dalam tindakan penguatkuasaan.

Katanya, hanya cigarillos di bawah BAT menjadi tumpuan serbuan pihak berkuasa dan ini menurut beliau memperlihatkan sikap tidak konsisten kementerian dalam pelaksanaan dasarnya sendiri.

“Produk ini diluluskan sebagai item bukan-rokok bukan sahaja oleh Kementerian Kesihatan setahun lepas, tetapi juga oleh Jabatan Kastam Malaysia.

“Menarik balik kelulusan secara sepihak tanpa peluang rundingan adalah berlawanan dengan jangkaan wajar sebuah syarikat yang berdaftar secara sah, apatah sebuah syarikat yang disenaraikan seperti kami,” katanya dalam satu kenyataan bagi menjelaskan rasional BAT memfailkan semakan kehakiman itu.

Terdahulu Badan Bertindak Wanita bagi Kawalan Tembakau dan Kesihatan Malaysia (MyWATCH) menggesa Putrajaya menggubal satu undang-undang umum bagi semua hasil tembakau dan berkait tembakau bagi mengatasi masalah kelemahan undang-undang sedia ada.

Ini susulan kebimbangan kumpulan kesihatan awam berhubung produk hisapan bukan-bakar (HNB) dan curut mini yang dikecualikan daripada undang-undang berkaitan rokok kerana ia tidak didefinisikan sebagai rokok.