PAS ucap tahniah pada BN, Syed Saddiq mohon maaf

SPR mengumumkan Wee Jeck Seng memenangi PRK Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Pontian, malam ini.

PETALING JAYA: PAS mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional dan calonnya, Wee Jeck Seng susulan kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang menyaksikan MCA merampas kembali kerusi Parlimen itu daripada Pakatan Harapan.

Parti Islam itu berkata, kemenangan ini akan menguatkan lagi blok pembangkang bukan saja dari segi bilangan kerusinya di Dewan Rakyat, tetapi juga keberkesanan suara pembangkang dengan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan.

“PAS turut yakin formula yang digunakan oleh gandingan Umno/BN – PAS/Gagasan Sejahtera bagi menghadapi PRK Tanjung Piai ini amat sesuai dijadikan antara asas kerjasama politik bersama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti,” kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan.

Terdahulu, BN menang besar dengan perbezaan 15,086 undi, selepas Wee mendapat 25,466 undi, menewaskan pesaing terdekat daripada PH, Karmaine Sardini yang hanya mendapat 10,380 undi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PH dan PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meminta maaf atas kekalahan gabungan parti pemerintah itu di PRK Tanjung Piai.

Katanya, kemarahan rakyat itu perlu dijawab dengan tindakan PH.

“Kekalahan ini pahit untuk ditelan.‬ Rakyat sudah bersuara.‬ ‪Suara rakyat, suara keramat.‬

“Secara ikhlas, saya meminta maaf kepada Pemuda atas kelemahan saya,” kata ahli Parlimen Muar serta menteri belia dan sukan itu dalam satu kenyataan.

Kejutan, mesej jelas 

Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Wee dan menyifatkan kemenangan besar BN sebagai kejutan serta mesej jelas kepada kepimpinan PH.

“Kita seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar daripada keputusan PRK ini.

“Kita juga harus berusaha menanam keyakinan rakyat terhadap dasar yang dibawa oleh PH dengan usaha positif melaksanakan janji,” katanya menerusi kenyataan malam ini.