Peguam Sarawak cabar pindah pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi dari Kuching

Peguam dari Sarawak, Dominique Ng (dua dari kanan) dan Voon Lee Shan (dua dari kiri) selepas sidang media di luar Mahkamah Tinggi Kuching.

KUCHING: Beberapa orang peguam Sarawak berkata, mereka sedang melihat beberapa kemungkinan untuk mencabar keputusan memindahkan pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu.

“Keputusan ini (memindahkan pejabat pendaftar) mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong tetapi kami sedang menimbangkan satu permohonan semakan kehakiman atau memfilkan satu saman pemula,” kata Dominique Ng.

Keputusan memindahkan pejabat pendaftar mahkamah itu berkuat kuasa semalam (15 Nov) selepas kerajaan Sarawak mencapai satu perjanjian “kompromi” dengan Putrajaya, iaitu pejabat berkenaan akan ditempatkan di Kuching dan Kota Kinabalu mengikut sistem giliran 10 tahun.

Ini susulan mesyuarat pada 12 Nov antara ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, anggota kanan badan kehakiman dan Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg bagi mendapatkan persetujuan negeri berhubung isu pemindahan pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Ng berkata, pejabat berkenaan merupakan simbol sistem kehakiman Sarawak kerana ia telah wujud sebelum pembentukan Malaysia lagi.

“Kita bukan sahaja bercakap tentang sisi pentadbirannya. Sebaliknya kita bercakap tentang sesuatu yang menjadi hak asasi rakyat Sarawak. Bagaimakah mereka boleh datang dan memindahkannya begitu?

“Saya difahamkan bahawa ketua hakim Sabah dan Sarawak bersetuju dengan langkah memindahkan pejabat pendaftar itu. Saya tidak salahkannya kerana beliau rakyat Sabah.

“Tetapi sebagai rakyat Sarawak, saya fikir ia tidak adil kepada kami,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Ng berkata, kerajaan negeri mungkin telah memberikan persetujuannya, tetapi rakyat Sarawak tidak akan mengalah dengan begitu mudah.

“Abang Johari telah berikan persetujuan. Mungkin beliau berdepan dengan tekanan, tetapi saya fikir kita tidak harus mengalah begitu mudah, sama seperti yang berlaku ke atas (hak) minyak dan gas kita sebelum ini.

“Ini merupakan satu lagi hujah kenapa kita perlu bebas. Jika kita tidak bebas, orang dari Malaya akan terus membuat keputusan bagi pihak kita tanpa perjanjian atau persetujuan yang sepatutnya,” kata beliau.

Dalam pada itu, peguam Voon Lee Shan, yang juga merupakan presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) menyuarakan kekecewaan terhadap Abang Johari kerana membuat perjanjian “kompromi” dengan Putrajaya.

Beliau menyifatkan pemindahan pejabat pendaftar berkenaan sebagai tidak menghormati rakyat Sarawak.

“Kita berharap Abang Johari bersikap tegas dalam semua rundingan, terutama yang melibatkan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ketua menteri sepatutnya melindungi kepentingan negeri.

“Selain itu, kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sarawak, sila beritahu ‘bos’ anda (tentang isu pemindahan pejabat pendaftar mahkamah ini). Jangan senyap. Anda rakyat Sarawak,” katanya.