Pengerusi SPR: Tiada insiden langgar peraturan, SPR terus pantau PRK Tg Piai

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun bercakap kepada pemberita ketika ditemui di PDM SMK Datuk Mohd Yunos hari ini.

PEKAN NANAS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata setakat ini tiada insiden melanggar paraturan pilihan raya oleh parti yang bertanding pada hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, perjalanan proses pengundian pagi ini amat lancar dam tiada insiden serius yang berlaku.

“Setelah 30 minit pusat dibuka sebanyak 13 peratus pengundi sudah keluar mengundi.

“Suasana aman, saya menyeru agar pengundi keluar mengundi awal, kerana Jabatan Kaji Cuaca meramalkan ribut petir akan berlaku pada sebelah petang,” katanya selepas mengadakan lawatan di salah satu Pusat Mengundi Daerah (PDM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mohd Yunos Sulaiman di sini.

Sebanyak 27 pusat mengundi membabitkan 125 saluran dibuka untuk pengundian PRK kerusi Parlimen Tanjung Piai, bermula 8 pagi.

Proses pengundian akan berakhir pada jam 5.30 petang.

Seramai 52,471 pengundi yang layak akan memilih wakil rakyat baru hari ini susulan kematian bekas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, yang mewakili Pakatan Harapan (PH), pada 21 Sept lepas kerana komplikasi jantung.

Pilihan raya kecil hri ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon PH, Karmaine Sardini, Wee Jeck Seng (Barisan Nasional), Wendy Subramaniam (Gerakan), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) dan dua calon Bebas iaitu Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Dalam pada itu, Azhar berkata, jangkaan keluar mengundi adalah sebanyak 70 peratus.

Katanya, setakat ini beliau belum menerima laporan mengenai pembukaan barong panas yang bersalahan dengan peraturan pilihan raya oleh mana-mana pihak.

“Dapat aduan orang bersorak, tetapi suasana amat terkawal,

“Aktiviti kempen positif, cuma ada bersorak dan tidak nampak aktiviti aktif,” katanya.

Azhar juga mengingatkan setiap parti supaya tidak menjalankan aktiviti meraih undi.

“Di mana-mana pun tidak boleh. Semua calon diminta tidak kibar bendera.

“Kalau di luar kawasan 50 meter (dari tempat mengundi) dan pakai baju di luar 50 meter ok. Apabila di luar kawalan, kita akan hentikan mereka.

“Kita akan berusaha memantau setakat mana yang mungkin. Kalau ada jelas mereka lakukan aktiviti meraih undi secara aktif, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Sekumpulan penyokong calon Berjasa, Badrulhisaham Abd Aziz kelihatan membaca al-Quran secara bergilir-gilir di setiap pusat mengundi dalam PRK Tanjung Piai.

Dalam perkembangan lain, masing-masing parti giat melaungkan slogan sokongan kepada calon parti masing-masing.

Dalam pada itu, keadaan berbeza dengan penyokong calon Berjasa Badulhisaham Abd Aziz yang tampil membaca al-Quran di setiap pusat mengundi.

Menurut seorang penyokong parti berkenaan yang enggan dikenali, sekumpulan enam ahli parti itu ditempatkan di setiap 27 PDM secara berganti-ganti untuk membaca dua juzuk al-Quran sepanjang proses pengundian berjalan hari ini.