Pengurus dangkal, tidak peduli, racun sukan Malaysia

Bekas setiausaha Majlis Olimpik Malaysia Sieh Kok Chi berkata, keputusan penting dibuat oleh pemimpin sukan yang ‘tidak berpengetahuan dan tiada pengalaman’. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Legenda polo air negara Sieh Kok Chi menempelak pentadbir sukan Malaysia yang tidak dinamakan sebagai dangkal dan tidak peduli dengan berkata, ini terbukti apabila negara kehilangan khidmat jurulatih bintang skuasy Ong Beng Hee kepada Qatar.

Sieh, yang merupakan bekas setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memberitahu FMT bahawa keputusan menolak tawaran Beng Hee untuk menjadi ketua jurulatih negara menzahirkan “masalah paling besar” dalam arena sukan Malaysia.

Beliau mendakwa keputusan penting berkaitan sukan dibuat oleh “pemimpin sukan yang tidak berpengetahuan dan tiada pengalaman”, selain idak memiliki rasa cinta terhadap sukan dan peka mengenai nasib bekas jaguh sukan negara.

“Mereka menggunakan atlet untuk mempromosi diri sendiri,” katanya.

“Apabila atlet bersara, mereka diketepikan seperti tisu terpakai.

“Ambil badminton sebagai contoh. Bekas jaguh kita dihargai di luar negara seperti di Jepun dan India, Namun mereka tidak mendapat pekerjaan yang baik di Malaysia.

Sieh merupakan anggota pasukan polo air negara yang secara konsisten memenangi pingat perak dalam Sukan SEA (Sukan Asia Tenggara) pada tahun-tahun 1965, 1967 dan 1969. Beliau juga menganggotai pasukan yang bersaing dalam Sukan Asia 1970.

Bintang skuasy negara Ong Beng Hee kini merupakan penasihat teknikal Persekutuan Tenis, Skuasy dan Badminton Qatar. (Gambar Bernama)

Beliau menempelak pengurus sukan berkenaan sewaktu memberi respons terhadap laporan terbaru bahawa Ong Beng Hee kini berjaya sebagai penasihat teknikal Persekutuan Tenis, Skuasy dan Badminton Qatar.

Menurut laporan media sebelum ini, Beng Hee menerima tawaran pekerjaan itu kerana beliau gagal menyertai Program Podium yang diurus oleh Institut Sukan Negara.

Sieh berkata, beliau sedih kerana Beng Hee tidak dialu-alukan di negara sendiri sedangkan sesetengah organisasi membayar “gaji yang keterlaluan” kepada para pentadbir yang tidak mempunyai rekod cemerlang dalam pembangunan sukan dan bakat sukan.

Katanya, jaguh negara yang telah bersara umumnya bersikap “terlalu rendah diri atau tercabar” bagi memperjuangkan hak mereka.

“Keadaan ini telah berjalan terlalu lama dan standard sukan Malaysia juga jatuh dengan teruk.”

Katanya, beliau kurang yakin keadaan akan berubah “sekiranya pemimpin dan pentadbir yang lemah” masih kekal berkuasa.

Beliau berkata, apa-apa langkah pembaharuan akan memerlukan sokongan dari luar, misalnya daripada media.

“Saya menjangka kerajaan baru Pakatan Harapan (PH) akan membuat perubahan serius,” kata beliau. “Malangnya perubahan tidak berlaku. Jadi individu sedia ada berasa mereka betul dan mendapat sokongan.”

Beliau seterusnya menggesa menteri belia dan sukan supaya “menendang keluar” pentadbir sukan yang lemah.